Setiap kawasan dilawati Daim mungkin tumbang, kata penganalisis


The Malaysian Insight

PADA 2008, beliau merupakan satu-satunya individu yang membuat jangkaan keputusan pilihan raya yang tepat – bahawa lima negeri akan tumbang ke tangan pembangkang.

Pada 2013, beliau juga membuat jangkaan tempat, bahawa parti pimpinan Najib Razak akan menang dalam pilihan raya berkenaan, namun masih menyokong perdana menteri itu.

Kali ini, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin beralih menyokong Dr Mahathir Mohamad, yang kini memimpin gabungan parti Pakatan Harapan menentang Najib.

Menurut penganalisis, perkembangan ini tidak boleh diambil mudah kerana orang kepercayaan Dr Mahathir itu “jenis cermat dan berhati-hati dalam tindakan.”

Pensyarah kanan Universiti Malaya, Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berkata beliau yakin bahawa Daim mengetahui sesuatu sehingga mengambil langkah drastik berkempen menyokong Dr Mahathir.

“Apabila beliau membuat sokongan terbuka terhadap Dr Mahathir maknanya beliau seolah-olah yakin dan hampir pasti bahawa PH akan menang PRU ini.

“Beliau juga sedar akan implikasi dan risiko atas sikap dan langkah politik ini. Pastinya beliau melihat ada sesuatu yang lebih menyakinkannya dalam menaruh sokongan terhadap PH,” kata Dr Awang kepada Malaysia Decides.

Oleh itu, beliau menyarankan agar pergerakan veteran Umno itu diperhatikan dengan rapi untuk menilai kesannya terhadap pengundi.

“Setiap langkah Daim perlu diperhatikan kerana setiap kawasan dilawati Daim berpotensi jatuh ke PH,” katanya lagi.

“Begitu juga negeri yang dipilih Daim untuk didatangi masa kempen. Negeri itu juga berpotensi tewas dan jatuh ke tangan PH,” kata Dr Awang lagi.

Daim semalam mengadakan majlis perjumpaan bersama rakyat di Pendang, Kedah bersama calon-calon PH yang bertanding di kerusi Parlimen Pendang dan dua kerusi negeri di bawahnya, Sungai Tiang dan Tokai.

Selain di Pendang, Daim juga mempunyai acara sama yang berasingan di Jitra.

Sebelum ini Daim sudah mengunjungi kawasan Pelabuhan Klang di Selangor dan Langkawi untuk membantu kempen PH.

Bekas menteri kewangan itu sebelum ini beberapa kali mengkritik pentadbiran Najib Razak berhubung dasar-dasar melibatkan kewangan dan ekonomi yang beliau rasakan tidak betul dan tidak menguntungkan Malaysia.

Pada 21 April lalu, Daim mempersoalkan keputusan Putrajaya mengecualikan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion daripada dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). – 2 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen