DR Mahathir Mohamad menghantar surat terbuka menggesa rakyat Langkawi membantu menyelamatkan pulau legenda itu menerusi PRU14 pada 9 Mei ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata ini peluang pengundi untuk memilih ahli Parlimen dan ADUN yang akan melindungi dan menegakkan hak rakyat di pulau itu.
“Setelah sekian lama Malaysia terbentuk, setiap kali diadakan PRU, Langkawi menjadi ‘kerusi selamat’ untuk Barisan Nasional (BN) dan Umno.
“Walaupun Kedah pernah jatuh kepada PAS pada PRU12, Langkawi tetap menyokong BN.
“Pilihan raya kali ini berlaku kerana BN akan ditentang oleh PH.”
Dr Mahathir berkata pembangkang menjadi ancaman besar kepada BN apabila kerajaan menolak permohonan pendaftaran parti itu.
“Dulu saya berjuang bersama Umno untuk memajukan Langkawi dan sedikit sebanyak pulau ini merasai kemajuan dan pembangunan.
“Ramai anak Langkawi yang berjaya dalam perniagaan. Langkawi terkenal di seluruh dunia dan ramai pelancong datang.
“Tetapi hari ini, Umno yang ada bukan lagi Umno yang dulu. Di bawah perdana menteri sementara Najib Razak, Umno menjadi rosak, negara juga rosak. Rakyat merungut tentang kos sara hidup tinggi, pengangguran dan GST.”
Dr Mahathir berkata beliau berharap rakyat dapat melihat semua yang sedang berlaku.
“Sanggupkah kita lihat kerosakan berterusan? Umno dan BN menabur wang dan hadiah untuk menarik hati pengundi. Sanggupkah kita bersekongkol merosakkan negara sendiri?
“PRU ini saat terakhir, peluang terakhir untuk rakyat menebus nasib bangsa, negara dan agama. Berilah peluang kepada saya dan rakan-rakan saya, Juhari Bulat (Air Hangat) dan Firdaus Ahmad (Kuah) dengan mengundi kami.” – 2 Mei, 2018.
Komen