KEMUNCULAN pemimpin veteran Umno berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) mengundang reaksi positif pengguna media sosial.
Rata-rata daripada mereka memuji antaranya Daim Zainuddin, Rafidah Aziz dan Rais Yatim kerana bersuara mengenai kesusahan rakyat.
Di Twitter dan Facebook, pengguna laman sosial menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang menarik untuk diperhatikan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Tun Dain sertai perjuangan PH. Rafidah Aziz dan Rais Yatim juga mengkritik Umno secara terbuka walaupun tak meninggalkan parti itu. #GE14 tentu sekali menarik untuk diperhatikan.” kata pengguna Twitter, Khalid.
Pengguna Facebook dengan nama Clifford Tan berkata sokongan Daim terhadap pembangkang menunjukkan betapa kerajaan perlukan perubahan.
“Daim Zainuddin pun menyertai pertempuran ini…. Ia menunjukkan (bagaimana) betapa rakyat Malaysia mahu menyingkirkan rejim Najib (Razak),” tulisnya.
Semalam, Daim, 80, bekas menteri kewangan semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, secara terbuka berkempen untuk PH dan menggesa pengundi agar menyokong gabungan pembangkang itu pada ceramah di kubu kuat PAS di Pendang, Kedah.
Terdahulu, beliau turut melakukan kunjungan mengejut ke acara Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali di Telok Gong di Pelabuhan Klang, yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Rafidah, 74, dalam Facebook semalam secara terbuka menyokong kerajaan baru PH, perkara yang pertama kali dilakukan beliau walaupun sebelum ini telah banyak mengkritik kerajaan yang dipimpin Najib.
Seorang lagi veteran Umno yang mengkritik Najib dan BN adalah bekas menteri Rais Yatim.
Pengguna sosial media Azfar Yusof berkata Dr Mahathir mendapat sokongan daripada individu yang pernah bekerja dengan beliau sebelum ini, kerana telah dipilih sebagai calon perdana menteri PH.
“Rais Yatim kempen melawan BN. Tun Daim juga. Rafidah minta rakyat Malaysia undi PH. Mahathir berjaya kumpulkan pengikutnya untuk persembahan terakhir,” katanya.
Alvin Lau pula memuji pendirian Daim.
“Apa kata anda? Apa yang dilakukan veteran terhormat ini adalah untuk keadilan. Tidak hanya jadi pemerhati. Syabas Tun Daim. Salut, salut!”
Seorang lagi pengguna, Stevie Chan berkata tindakan Daim memberi tanda yang jelas kerana beliau bukanlah orang yang akan mengambil risiko menyokong pembangkang tanpa alasan yang kukuh.
“Daim orangnya sangat berhati-hati. Dan dia juga dikatakan mempunyai orang dalam yang berpengalaman. Jika Daim terang-terang menyokong PH, mesti ada sesuatu.” – 2 Mei, 2018.
Komen