ARTIS Malaysia mengajak pengundi keluar mengundi pada 9 Mei ini menerusi video dengan hashtag #Negaraku di YouTube.
Terdapat lebih daripada 10 video seperti itu, setiap satunya berdurasi 30 saat, di mana penyanyi, personaliti televisyen dan ramai lagi, dari pelbagai latar belakang, memberi testimoni positif mengenai perkembangan negara dan mengajak rakyat Malaysia keluar mengundi pada 9 Mei ini.
Penyanyi Siti Sarah Raisuddin, dari Perak berkata sebagai ibu beliau amat mementingkan pendidikan dan pekerjaan anak-anaknya di masa depan, dan sekiranya keadaan sudah cukup baik, maka ia sepatutnya jauh lebih baik di masa depan.
“Jadi, Sarah ajak kita sama-sama pilih hebatkan negara,” katanya.
Karl Shafek berkata perdana menteri sementara Najib Razak yang merupakan penyandang kerusi Pekan, tidak pernah mengabaikan rakyat Pahang, terutamanya di kawasan kerusi parlimen itu.
Artis hip-hop, Ariz Ramli, yang lebih dikenali sebagai Caprice, memuji Malaysia dan rakyat negara ini, dengan berkata tiada negara lain di dunia ini di mana rakyatnya menutur dalam 3 bahasa dalam saya ayat.
“Hey macha, mana mau yamcha later?” kata Caprice. Ayat itu bermaksud “Hey Abang, mana kita nak minum nanti?” yang mengandungi empat bahasa - Tamil, Bahasa Melayu, Kantonis dan Bahasa Inggeris.
Aris yang berasal dari Kuala Lumpur berkata beliau berbangga menjadi rakyat Malaysia dan memilih “Negaraku” dan kestabilan serta menggesa rakyat negara ini mengundi daripada hanya merungut di media sosial.
Selebriti lain yang terlibat termasuk suami Siti Sarah, pelawak Shuib Sepahtu, personaliti radio Zulin Aziz, penyanyi Sufian Suhaimi dan Dayang Nurfaizah, penyanyi rap Altimet, pelakon Yasmin Hani dan Nabila Razali, serta pengarah filem dan personaliti televisyen Low Ngai Yuen. – 2 Mei, 2018.
Komen