RAKYAT Johor diseru menolak Barisan Nasional (BN) supaya negeri itu boleh dimakmurkan seperti mana Pakatan Harapan (PH) membela rakyat di negeri yang ditadbir mereka iaitu di Selangor dan Pulau Pinang.
Ketua Publisiti DAP Tony Pua berkata pentadbiran PH di Selangor dan Pulau Pinang bukan saja bebas penyelewengan tetapi rakyat terbela sejak dilahirkan sehinggalah mereka meninggal dunia.
“Setahun kita belanja RM150 juta untuk subsidi air, Selangor tidak bankrap, bayi lahir kita beri angpow, anak masuk universiti kita beri angpow, anak kahwin kita beri RM1,000 angpow, bila mati pun kita beri RM2,500.
“Kerajaan negeri Selangor bagi banyak manfaat, perbelanjaan Selangor meningkat lebih daripada satu kali ganda.
“Bukan saja tidak bankrap, rizab simpanan kerajaan naik dari RM400 juta kepada lapan kali ganda iaitu RM3.2 bilion,” kata Pua, di hadapan kira-kira 80 pengundi Cina di sebuah restoran makanan laut di Johor Baru petang ini.
“Kami sudah banyak berbelanja tapi simpanan kita makin meningkat. Kenapa, senang saja, tiada formula rahsia. Kalau kerajaan tidak korup rakyat akan menerima manfaat,” katanya.
Pua berkata jika rakyat Johor memilih PH mereka juga bakal menikmati perkara sama.
“Kita lihat negeri lain diperintah BN, mana yang ada manfaat seperti Pulau Pinang dan Selangor.
“Di Johor bukan saja tiada air percuma, tapi paling mahal di seluruh Malaysia.
“Kita percaya asalkan kita dapat tubuhkan kerajaan bersih, kerajaan PH, kita mampu sampaikan kebaikan dan manfaat kepada rakyat Johor,” katanya. – 2 Mei, 2018.
Komen