Kami akan guna duit BN untuk jatuh Najib, kata Dr Mahathir


The Malaysian Insight

DR Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan dana daripada Barisan Nasional (BN) untuk menjatuhkan Najib Razak.

Calon perdana menteri PH itu menegaskan wang yang diberikan kepada pengundi oleh BN didermakan kembali kepada PH oleh pengundi yang marah.

“PH diselamatkan oleh Najib dan Tengku Adnan (Tengku Mansor) kerana sebahagian, kadang-kala keseluruhan jumlah yang diterima, diberikan kepada parti PH kerana simpati.

“Inilah wang yang digunakan untuk kempen menjatuhkan Najib dan Tengku Adnan,” katanya.

Dr Mahathir juga berkata BN mengeluarkan wang tunai dan menyerahkan perkakas dapur semasa ceramah.

“Akhir-akhir ini, ramai penerima menyumbang sebahagian daripada wang tunai yang diterima kepada PH. Barang-barang ini juga dijual dan hasilnya disumbangkan kepada PH,” katanya.

Dr Mahathir berkata beliau menjangkakan BN akan mengagihkan lebih banyak pemberian dalam beberapa hari akan datang sepanjang tempoh kempen dan menasihatkan rakyat untuk mengambil apa sahaja yang diberikan.

Dr Mahathir berkata terdapat contoh di mana para penerima diminta bersumpah atas nama Tuhan yang mereka akan mengundi BN.

“Dalam Islam, niat itu lebih penting daripada yang diucapkan. Para penerima boleh membaca (sumpah) mengikut kehendak Najib tetapi niat di hati adalah untuk mengundi PH.

“Ini tidak salah dari segi agama kerana tiada paksaan dalam Islam,” katanya. – 2 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen