PENETAPAN Gaji minimum sebanyak RM2,500 seperti yang dicadangkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Petaling Jaya Maria Chin Abdullah akan memberi kesan kepada peniaga.
Peniaga berharap PH dapat mengadakan perbincangan sebelum melaksanakan dasar tersebut sekiranya gabungan itu ditakdirkan berjaya membentuk kerajaan Persekutuan.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan menyifatkan ia tidak adil bagi majikan dan hanya menumpukan keperluan pekerja semata-mata.
“Sistem gaji harus menyelesaikan kedua-dua perkara iaitu keperluan pekerja dan kapasiti majikan untuk membayarnya,” katanya kepada Malaysia Decides.
Beliau berkata sistem gaji yang adil dan mapan harus berkait dengan tahap kepakaran, produktiviti dan prestasi pekerja.
“Dengan cara ini, gaji yang lebih tinggi tidak akan membebankan majikan dengan bertambahnya produktiviti,” kata Shamsuddin.
Maria, yang merupakan bekas pengerusi Bersih 2.0 akan bertanding atas tiket PKR, menjadikan gaji minimum RM2,500 sebagai manifesto peribadinya.
Bagi seorang lagi peniaga di Petaling Jaya, Larry Lee, jumlah gaji minimum yang ditawarkan itu tidak realistik, walaupun mengakui bersimpati dengan nasib mereka yang terpaksa makan gaji.
“Perniagaan pun semakin susah. Banyak pemilik kopitiam di PJ bertukar tangan. Boleh bayangkan macam mana mereka nak bayar seorang pelayan dengan gaji RM2,500 sebulan? Ia akan meningkat kos perniagaan,” katanya.
Tambahnya Maria perlu menjelaskan sama ada gaji minimum RM2,500 itu turut ditawarkan untuk pekerja asing, dan menggesa kerajaan yang akan memerintah kelak berbincang dengan peniaga terlebih dahulu sebelum melaksanakannya.
Cadangan PH untuk meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500 dalam manifesto pilihan raya mereka lebih boleh dilaksana, kata Lee.
Bank Negara pada Mac berkata satu pertiga isi rumah di Kuala Lumpur menerima gaji di bawah paras minimum.
Bank Negara menganggarkan seorang dewasa bujang yang tinggal di Kuala Lumpur perlu memperoleh RM2,700, manakalan RM4,500 bagi pasangan tanpa anak dan RM6,500 bagi pasangan dengan dua anak - bagi hidup dengan selesa. – 2 April, 2018.
Komen