BARISAN Nasional (BN) tidak sepatutnya mengancam pekerja untuk mengundi jika mereka mahu kenaikan gaji minimum, kata Nurul Izzah Anwar.
Naib presiden PKR itu berkata, pengerusi BN tidak harus menggunakan taktik sedemikian untuk meraih undi.
“Beliau tidak perlu menakutkan rakyat, memberitahu mereka hanya akan mendapat kenaikan gaji minimum sekiranya BN menang. Ia menyedihkan,” katanya hari ini.
Semalam, Najib, yang juga pengerusi BN, berkata gaji minimum semasa - RM1,000 bagi Malaysia Barat dan RM920 pekerja di Malaysia Timur - akan dinaikkan sekiranya kerajaan pemerintah mengekalkan kuasa. Dalam manifesto pilihan raya, BN berjanji menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 dalam tempoh lima tahun.
Nurul Izzah, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh, berkata pemimpin PKR, Anwar Ibrahim memperjuangkan gaji minimum sejak 2008, apabila ia menjadi satu daripada lima janji utama Pakatan Rakyat kepada rakyat.
Beliau berkata Anwar mencadangkan agar pendapatan minimum bagi setiap isi rumah kepada RM4,000.
“Idea kami mempunyai kesan, lihat bagaimana BN menirunya. Kami mengalu-alukan BN untuk mengambil idea kami tetapi kami tidak mengaitkannya dengan pilihan raya, walaupun memenangi pilihan raya akan memudahkan kami melaksanakan semua idea.
Ketua Naib Ketua Pemuda PH, Faiz Fadzil, yang bertanding di kerusi DUN Permatang Pasir, berkata cara ucapan Najib dilaporkan seolah-olah seperti intimidasi politik, sambil menambah PH mempunyai idea lebih baik dan holistik dalam menangani gaji minimum berbanding BN. – 2 Mei, 2018.
Komen