KEHADIRAN pemain badminton negara, Lee Chong Wei mencuri tumpuan yang sepatutnya diterima oleh calon Bentong, Liow Tiong Lai hari ini, apabila bintang sukan itu datang ke kerusi panas di sana sebagai tetamu presiden MCA.
Lee dibawa bersama dalam kempen Liow untuk mempertahankan kerusi marginal yang mana menteri pengangkutan sementara itu memenanginya dengan hanya 379 undi pada 2013 berbanding DAP.
Atlet negara itu adalah tetamu Liow semasa pembukaan semula Kelab Belia Bentong selepas pengubahsuaian, di mana Liow menggesa pengundi Bentong mencontohi semangat juang Lee.
“Pembangunan Bentong sepatutnya seperti semangat Lee Chong Wei. Orang-orang Bentong adalah pasukan kami dan kami memerlukan penyertaan setiap orang supaya Bentong boleh dibangunkan menjadi bandar satelit,” kata Liow.
Bentong, yang terkenal dengan kebun buah-buahan dan eko-resort terletak kira-kira satu jam setengah perjalanan dari ibu kota. Ia sekian lama menjadi kubu kuat Barisan Nasional melalui MCA dan Liow mempertahankannya sejak tiga penggal lalu.
Para hadirin teruja dengan peluang bertemu dengan Lee, yang mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa individu di antara mereka.
Pada PRU14, pencabar utama Liow ialah Wong Tack, seorang pencinta alam sekitar DAP, yang akan menentang pemimpin MCA itu untuk kali kedua. Pencabar ketiga adalah Balasubramaniam Nachiappan daripada PAS.
Bentong adalah kerusi campuran dengan 47% pengundi Melayu dan 42% orang Cina.
Liow menyumbang RM20,000 kepada kelab Bentong pada April untuk pengubahsuaian. – 2 Mei, 2018.
Komen