PERKARA berkaitan meningkatkan royalti minyak dan gas untuk negeri Sarawak adalah muktamad di bawah kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH), kata Ketua PH Sarawak Chong Chieng Jen.
Kerajaan PH tidak akan berunding mengenai pembayaran 20% royalti minyak serta pemulangan 50% cukai yang dikutip dari kerajaan negeri, sementara Putrajaya di bawah Barisan Nasional (BN) masih berkira-berkira mengenai perkara itu, katanya.
“Ia adalah muktamad. Tiada lagi rundingan. Semuanya sudah lengkap,” kata Chong, yang juga merupakan calon PH bagi kerusi Parlimen Stampin pada ceramah di Kuching City Mall malam semalam.
Kerajaan Persekutuan PH juga katanya akan memastikan Sarawak memperolehi autonomi penuh dalam bidang pendidkan dan kesihatan.
Chong yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Kuching selama tiga penggal akan bertanding di Stampin pada pilihan raya umum kali ini berdepan pencabarnya dari BN Dr Sim Kui Hian, yang juga merupakan presiden Sarawak United People’s Party (SUPP).
Langkah ini bertepatan dengan strategi DAP untuk meletakkan pemimpin berpengaruh mereka bertanding di kerusi sukar. Stampin akan menjadi medan pertarungan yang bakal diperhatian ramai pihak berikutan dakwaan pembangkang bahawa berlakunya persempadan semula yang menyaksikan kerusi Dewan Undang Negeri (DUN) Batu Lintang dikeluarkan dan digantikan dengan kerusi DUN Batu Kitang yang merupakan kerusi campuran.
PH, dalam manifesto untuk Sarawak, berjanji akan mengembalikan hak negeri dan royalti minyak dalam tempoh 100 hari mentadbir kerajaan Persekutuan.
Semalam, Chong menyifatkan pemberian autonomi penuh pendidikan dan kesihatan kepada kerajaan negeri sebagai “sesuatu yang melangkaui” apa yang terkandung di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“MA63 tidak menjanjikan autonomi penuh. Mengikut perjanjian itu, pendidikan dan kesihatan masih di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.”
PH dalam manifestonya berjanji untuk membentuk Jawatankuasa Kabinet Khas PH bagi memperkasakan MA63. – 2 April, 2018.
Komen