SUV rempuh pub di Victoria, 5 pengunjung maut


SERAMAI lima pengunjung sebuah pub di negeri Victoria, Australia maut selepas sebuah kereta dipandu seorang warga emas merempuh premis itu pada Ahad, lapor Xinhua.

Dalam kemas kini terkini, Polis Victoria berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang waktu tempatan, sebuah kenderaan SUV jenis BMW disyaki terbabas sebelum memasuki kawasan pelanggan di hadapan premis berlesen di Vincent Street di Daylesford itu.

Akibat kemalangan itu, dua lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang remaja perempuan meninggal dunia di hospital.

Polis berkata identiti kesemua mangsa masih belum dikenal pasti.

Sementara itu, pemandu kenderaan iaitu seorang lelaki berusia 66 tahun yang cedera masih menerima rawatan di hospital.

Polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan itu. – Bernama, 6 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen