Kempen Daim tak akan jejas BN, kata Noh Omar


The Malaysian Insight

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Selangor, Noh Omar berkata kemunculan veteran parti itu, Daim Zainuddin dalam kempen Pakatan Harapan (PH) tidak akan menjejaskan parti kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya beliau juga tidak terkejut dengan tindakan bekas ahli Parlimen Merbok itu yang kini lantang melawan kerajaan dan bersama dengan Dr Mahathir Mohamad.

“InsyaAllah tidak (beri kesan). Kita tidak lari daripada perjuangan. Mereka yang kecoh ini adalah orang yang kecewa. itu sahaja,” kata Noh Omar lagi.

Bagaimanapun, beliau berkata bekas menteri kewangan itu seharusnya mengenang jasa kerajaan dan memberi peluang kepada pemimpin baru untuk mentadbir.

“Saya harap abang-abang kita bila sudah habis (perkhidmatan) kenanglah jasa sebab mereka dulu yang cakap pemimpin datang dan pergi, berilah peluang pada pemimpin muda baru..perjuangan Umno tidak lari

“Tetapi apa yang saya lihat mereka menyebelahi parti pembangkang, bermakna mereka yang lari perjuangan. Jangan lari dari perjuangan,” kata calon Parlimen Tanjung Karang itu sewaktu ditemui di SK Puncak Alam 2 di Puncak Alam, hari ini.

Daim semalam muncul di dua program di Kedah dan menggesa pengundi supaya menolak BN dan menyokong PH pada hari pengundian 9 Mei ini.

“Pangkah mata, jangan dacing,” katanya merujuk kepada lambang parti bertanding pada kertas undi.

“InsyAllah 9 Mei ini kita keluar mengundi PH, 10 haribulan kita akan ada kerajaan baru.”

Daim dilaporkan turut hadir dalam program ceramah menteri besar sementara Selangor, Mohamed Azmin Ali di Pelabuhan Klang pada Isnin lalu. – 2 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen