BEKAS menteri kewangan Daim Zainuddin turun berkempen di tempat yang Pakatan Harapan (PH) berpeluang menang, tetapi masih memerlukan galakan, kata sumber.
Sumber berkata Daim mahu memastikan PH menang di kawasan yang dihadirinya seperti Langkawi, Pendang dan Jitra di Kedah serta Pelabuhan Klang di Selangor.
“Beliau mendapat maklumat, beberapa kawasan masih memerlukan galakan untuk memastikan PH menang.
“Sebab itu Tun turun berkempen di kawasan-kawasan itu,” kata sumber yang rapat dengan bekas menteri kewangan itu kepada Malaysia Decides dengan syarat tidak dinamakan.
Semalam, Daim menyatakan sokongan terbuka kepada PH apabila menggesa rakyat menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Daim yang merupakan sekutu rapat Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad semalam mengadakan majlis perjumpaan bersama rakyat di Pendang dan Jitra di Kedah bersama calon-calon PH yang bertanding di kawasan itu.
Ahli Majlis Tertinggi Bersatu A Kadir Jasin yang menjadi moderator kepada beberapa program melibatkan Daim berkata, walaupun dianjurkan pada saat akhir, sambutan pengundi terhadap bekas menteri kewangan itu sangat baik.
“Tun tidak suka berkempen melalui rapat umum, beliau lebih suka bertemu dengan kumpulan-kumpulan kecil.
“Untuk program akan datang, Tun akan ke Langkawi sekali lagi walaupun sudah dua kali berkempen di sana,” kata bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu.
Kadir berkata Daim sememangnya sentiasa berkempen setiap kali pilihan raya.
“Pada PRU13, Tun berkempen untuk memenangkan Umno dan BN.
“Bezanya kali ini, Tun berkempen untuk memastikan kemenangan PH,” katanya.
Bekas menteri kewangan itu sebelum ini beberapa kali mengkritik pentadbiran Najib Razak berhubung dasar-dasar melibatkan kewangan dan ekonomi yang beliau rasakan tidak betul dan tidak menguntungkan Malaysia. – 2 Mei, 2018.
Komen