Tian Chua enggan patuh arahan SPR buang bahan kempen di Batu


The Malaysian Insight

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengarahkan penyandang Batu, Chua Tian Chang membuang semua bendera PKR dan bahan pilihan raya di kawasannya walaupun beliau mencabar keputusan hilang kelayakannya untuk bertanding di kerusi Parlimen.

Chua, atau lebih dikenali sebagai Tian Chua, merayu kepada mahkamah untuk membatalkan keputusan SPR yang menolak kelayakannya daripada mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Rayuannya akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.

Naib presiden PKR itu berkata beliau tidak akan menyerah kepada tuntutan SPR sekarang.

“Saya menerima surat semalam daripada SPR agar menarik semula bahan kempen, tetapi saya tidak akan melakukannya.

“Bendera PKR akan berkibar di Batu,” katanya.

Walaupun hilang kelayakan, Tian Chua tetap bertemu pengundi Batu dan yakin mahkamah akan mengesahkan beliau layak bertanding untuk pilihan raya serta mempertahankan kerusinya.

Beliau berkata akan terus berkempen untuk PKR, bukan sahaja di Batu tetapi di seluruh negara. Beliau akan berada di Pahang hari ini dan kemudian berkempen di Melaka.

Keyakinannya untuk mencabar kehilangan kelayakan itu berdasarkan faktor yang mahkamah membenarkan beliau bertanding pada 2013 walaupun didenda RM2,000 sebelum itu bagi kesalahan lain.

“Ketika itu tiada masalah. Jika ada masalah, saya tidak akan dipilih sebagai ahli Parlimen.

“Sekiranya mereka (SPR) mahu menolak saya, mereka sepatutnya melakukannya pada pilihan raya lepas,” katanya.

Ketika ditanya apa yang akan berlaku jika keputusan mahkamah tidak memihak kepadanya, Tian Chua yakin perkara itu tidak akan berlaku.

Beliau memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin yang mencabar keputusan SPR menghalangnya daripada bertanding.

Beliau hilang kelayakan pada hari penamaan kerana denda RM2,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam

Tian Chua berkata dengan tidak membenarkannya bertanding, SPR menafikan hak 70,000 pemilih Batu untuk mengundi PKR.

Kerusi Batu kini akan menyaksikan pertarungan empat penjuru antara calon Gerakan Dr Dominic Lau, Azhar Yahya daripada PAS dan calon Bebas P. Prabakaran serta V.M. Panjamothy.

Tian Chua memenangi kerusi itu pada 2008 dan mempertahankannya pada 2013, mengalahkan Lau dengan majoriti 13,284 undi. – 2 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen