SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menggunakan pendekatan terbaru untuk menangani bahan kempen Pakatan Harapan yang mengandungi gambar Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad.
Calon PH di Ayer Hitam, Liew Chin Tong daripada DAP memuatnaik tiga gambar menunjukkan pegawai SPR menampal kertas di atas gambar Dr Mahathir dan namanya di atas papan iklan kempen PH.
“Kerja SPR sekarang termasuklah menutup gambar Tun Dr Mahathir Mohamad. Hebat! Di Tanjung Pia sekarang,” tulisnya dalam satu catatan awal hari ini.
Pengguna Facebook Josephine Wong menulis komen sindiran: “Terima kasih SPR kerana menutup muka Tun…tetapi, rakyat bukan buta sampai tak boleh nampak!!!”
Bernard Chia mengatakan SPR ketandusan idea dan bertindak kebudak-budakan yang hanya akan menyebabkan rakyat lebih marah.
Seorang lagi pengguna Facebook, Said Ab Wahid berkata tindakan SPR hanya akan menaikkan lagi semangat PH untuk menyingkirkan BN, menambah “tak ada otak”.
“Dengan berbuat demikian anda buat orang lebih benci kerajaan dan terima kasih, ia berhasil!” tulis Jamilah Hussin di catatan Liew.
SPR baru-baru ini mengenakan syarat yang calon hanya dibenarkan menggunakan gambar presiden atau timbalan presiden parti mereka atau yang setaraf dalam bahan kempen selain gambar mereka sendiri. Mereka tidak dibenarkan menampilkan gambar pegawai lain.
Susulan peraturan baru itu, PH melaporkan yang pegawai SPR di beberapa negeri memotong gambar Dr Mahathir dan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim daripada beberapa papan iklan kempennya sejak tempoh berkempen bermula.
Semalam, Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein mengatakan tindakan memotong gambar bekas perdana menteri itu tidak patut. Katanya, jika papan iklan itu tidak sesuai, pihak berkuasa berkaitan boleh menurunkannya. – 2 Mei, 2018
Komen