Marah saya tak apa, jangan marah Umno dan BN, kata Najib


The Malaysian Insight

DR Mahathir Mohamad tidak sepatutnya marah kepada Umno atau Barisan Nasional (BN) kerana dua entiti itu yang membantunya kekal sebagai perdana menteri selama 22 tahun, kata bekas anak didiknya Najib Razak.

“Marah kepada saya tak apa. Marah kepada Umno dan BN? Itulah meletakkannya sebagai perdana menteri selama 22 tahun,” katanya yang juga pengerusi BN di hadapan kira-kira 1,000 orang di program ceramah di Wangsa Maju, malam tadi.

Dr Mahathir mendesak pentadbiran Najib disingkirkan kerana rasuah.

Najib berkata Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh Dr Mahathir tidak boleh menubuhkan kerajaan yang stabil kalau dalam hati mereka tidak boleh lupa angkara Dr Mahathir selama menjadi perdana menteri dulu.

Tambahan pula, katanya mereka sering bergaduh dan mengkritik satu sama lain.

PH terdiri daripada PKR, DAP, Bersatu dan Amanah. Gabungan pembangkang memilih Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri jika PH menang kuasa persekutuan.

Perdana menteri sementara itu berkata Dr Mahathir hanya “puppet master” dan boleh ditolak jika DAP memenangi banyak kerusi dalam kalangan parti pembangkang lain.

Najib kemudian merayu khalayak supaya memberinya dan BN lima tahun lagi untuk “membawakan lebih banyak pembangunan kepada negara”.

Parlimen Wangsa Maju akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang Tan Yew Kew daripada PH, Yew Teong Look (BN) dan Razali Tumiran (PAS).

Kerusi itu dimenangi oleh Dr Tan Kee Kwong oleh PKR pada 2013. Beliau menewaskan calon Umno, Mohd Shafei Abdullah dengan majoriti 5,511 undi, dalam perlawanan satu lawan satu dengan jumlah pengundi keluar mengundi 57,771 (86%). – 2 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen