PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Najib Razak berkata keputusan kes saman saman fitnah ke atas Sarawak Report di mahkamah United Kingdom menunjukkan portal tersebut tidak boleh dipercayai.
Beliau juga menggesa pengundi untuk tidak mempercayai segala maklumat dalam media sosial yang menurutnya banyak memberikan berita fitnah dan palsu.
“Jangan percaya apa ada di media sosial. Semata-mata. Sebab terlalu banyak fitnah dalam media sosial. Sarawak Report pun sudah kalah kes di London sebab dia fitnah PAS kononnya Umno bagi RM90 juta kepada PAS.
“Ini dibuktikan mahkamah yang mereka tiada bukti sama sekali. Maknanya jangan percaya segalanya yang ada di media,” kata Najib dalam ucapannya selepas lawatan ke lawat SK Puncak Alam 2 di Kuala Selangor pagi ini.
Najib mengambil peluang tersebut untuk menyelar Sarawak Report yang dikenali sebagai portal yang banyak menyiarkan laporan kritikal ke atas pentadbirannya, termasuk isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad dan derma RM2.6 bilion dalam akaun perdana menteri itu.
Mahkamah United Kingdom semalam memerintahkan editornya Claire Rewcastle-Brown membayar GBP28,900 (RM155,791) kepada Abdul Hadi Awang, susulan kemenangan presiden PAS itu ke atas kesemua lima permohonan interlocutari dalam kes saman berkenaan.
Bagaimanapun, ia bukanlah keputusan perbicaraan penuh ke atas kes saman itu sendiri, yang hanya akan berlangsung selama 10 hari bermula 1 April 2019.
Saman itu berhubung laporan Sarawak Report dalam laporannya pada 6 Ogos 2016 yang Hadi menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong BN dan Umno.
Keputusan ke atas permohonan interlocutari itu semalam disambut dengan gembira oleh PAS yang menganggapnya sebagai kemenangan moral ke atas parti Islam tersebut. – 2 Mei, 2018.
Komen