MERAMPAS semula Hulu Selangor adalah penting bagi PKR yang pertama kali memenangi kerusi itu dengan undi tipis pada 2008 tetapi kalah dua tahun kemudian dalam pilihan raya kecil.
Kini, Leow Hsiad Hui, seorang ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkhidmat selama lapan tahun, ditugaskan menewaskan penyandangnya daripada Barisan Nasiolan (BN) iaitu timbalan menteri pendidikan sementara dan pemimpin MIC P. Kamalanathan.
Ahli Majlis Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) itu percaya kelebihannya adalah tugas yang dilakukannya untuk semua kaum di peringkat kerusi persekutuan.
Lebih baik dikenali sebagai “Puan June” atau “Miss June” di kalangan penduduk setempat, beliau berjaya membantu komuniti mendapatkan tempat ibadat dan peruntukan bagi sekolah-sekolah vernakular.
“Sejak lapan tahun lalu, saya membantu penduduk di sini mendapatkan tanah untuk kuil India, masjid, tokong Cina serta gereja.
“Saya juga berusaha mendapatkan peruntukan kerajaan untuk pelbagai kumpulan. Jumlah dana tertinggi, RM100,000, diberi kepada kuil India. Saya juga membantu sekolah mengumpul RM300,000,” katanya semasa temu bual.
Semasa lawatannya ke kuil India dan pasar-pasar malam, dapat dilihat penduduk di sana mengucapkan terima kasih di atas tugas yang dilakukannya.
“Kelebihan yang saya ada ialah saya sudah bekerjasama dengan tiga kaum utama di sini,” kata Leow, yang tinggal di Hulu Selangor selama lebih 22 tahun.
Beliau juga mempunyai pengikut yang ramai di kalangan belia di kawasan itu sebagai pengerusi dan penasihat pelbagai kelab yang memberi tumpuan kepada kebajikan, pembangunan belia dan aktiviti wanita.
“Saya penasihat kelab seperti Gerakan Belia Bersatu Malaysia (di Bukit Sentosa) untuk mempromosikan aktiviti belia. Saya juga ketua wanita Kelab Muhibbah di Rasa dan kelab sukarelawan Ai Xin di Bukit Sentosa,” katanya, dan menambah senarai kelab lain yang beliau terlibat.
Perumahan dan akses kepada pendidikan tinggi adalah isu utama di Hulu Selangor.
“Hulu Selangor adalah kawasan berpendapatan rendah, orang tidak mampu pindah dan meneruskan pengajian.
“Daripada pengalaman saya sebagai ahli majlis tempatan, orang ramai meminta sekolah politeknik di sini dan penduduk kini lebih 200,000 orang,” katanya.
Pada 2008, Zainal Abidin Ahmad daripada PKR memenangi kerusi itu dengan kelebihan 198 undi, mengalahkan Presiden MIC G. Palanivel.
Tetapi pada 2010, Kamalanathan yang mewakili BN merampas semula kerusi itu dengan 1,725 undi.
Pada PRU14, Leow akan berdepan pertandingan empat penjuru antara Kamalanathan, Wan Mat Wan Sulaiman dan calon Bebas, Kumar S. Paramasivam.
Data Suruhanjaya Pilihan Raya dari 10 April menunjukkan 100,990 pengundi di sini terdiri daripada 61% Melayu, 21% Cina dan 16% India. – 2 Mei, 2018.
Komen