Najib Razak dan Dr Mahathir Mohamad bersaing mengadakan ceramah di Kuala Lumpur semalam dalam usaha mereka meraih undi Melayu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Najib berkempen di Lembah Pantai, Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju pada cuti umum Hari Pekerja semalam menjanjikan geran, kenaikan gaji dan peluang pekerjaan jika Barisan Nasional kembali berkuasa, lapor The Straits Times.
“Siapa tak mahu BR1M? Saya gandakan tahun ini. Saya mahu jaga mereka yang di bawah, bukan kroni,” kata Najib, 64, dipetik berkata merujuk kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia di majlis di Wangsa Maju.
Kerusi Parlimen itu mempunyai 90,000 pengundi, lebih daripada 50% adalah orang Melayu.
Di Titiwangsa pula, Dr Mahathir masuk ke kubu kuat PAS, di mana Pakatan Harapan meletakkan calon Bersatu dan bukannya Amanah.
Titiwangsa dipegang penyandang Menteri Kewangan Kedua Johari Abdul Ghani yang menentang Rina Mohd Harun (PH) dan Mohamad Noor Mohamad (PAS). Johari menang di kerusi itu dengan majoriti undi 866 pada 2013.
“Walaupun hujan, kita masih keluar. Keluarlah begini dan undi Pakatan Harapan. Kita tidak hanya akan menang tetapi kita akan menang besar,” kata Dr Mahathir kepada hampir 1,500 mereka yang hadir di Desa Pandan.
Najib sebelum itu bertemu 5,000 penjawat awam dan pekerja syarikat berkaitan kerajaan untuk sambutan Hari Pekerja, mengingatkan mereka yang wala (kesetiaan) adalah wajib dan perlu diberikan kepada kerajaan sekarang. – 2 Mei, 2018.
Komen