Sokongan veteran Umno pada Pakatan boleh ubah undi Melayu


The Malaysian Insight

BEKAS menteri yang berpengaruh boleh menarik undi Melayu Islam, terutama ahli Umno ke arah Pakatan Harapan (PH), kata penganalisis walaupun tinggal sembilan hari lagi sebelum hari membuang undi.

Ini kerana veteran Umno seperti Rafidah Aziz dan Daim Zainuddin masih dihormati dalam kalangan penyokong Umno dan tindakan mereka menandakan gelombang bantahan dalam parti.

Rafidah memegang jawatan ketua Wanita bagi tempoh yang lama sementara Daim ialah bendahari parti.

“Tun Daim terkenal dengan ramalannya yang tepat (dalam PRU 2008). Jadi apabila beliau kata sesuatu, orang akan percaya,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar.

Sokongan terbukan Rafidah dan Daim terhadap bekas bos mereka, Dr Mahathir Mohamad dan gabungan PH menunjukkan ada rasa tidak puas hati dalam Umno terhadap presiden Najib Razak, kata seorang lagi penganalisis, Dr Azwang Azman Awang Pawi.

“Rafidah dan Daim boleh dapatkan sokongan untuk PH terutama dari dalam Umno. Ini gelombang kedua protes dalam Umno.

“Ini mesej jelas kepada ahli Umno bahawa bekas pemimpin kanan sendiri pun tidak sokong Najib,” kata pensyarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya itu.

Sokongan mereka terhadap PH boleh dijadikan mesej untuk ahli Umno untuk tidak mengundi BN tanpa perlu keluar daripada parti, kata Awang Azman.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali berkata kedua-dua individu itu tokoh besar dalam Umno tetapi persoalannya ialah adakah mereka masih ada pengaruh dalam parti dan ahlinya.

Rafidah, antara pengkritik tegar pentadbiran Najib dalam mengendalikan skandal 1Malaysia Development Berhad dan membantah perpecahan kedaulatan undang-undang di Malaysia.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri dalam Kabinet Dr Mahathir itu semalam menyokong PH. – 2 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen