Azmin geram laporan media arus perdana berat sebelah


The Malaysian Insight

PEYANDANG jawatan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menggunakan kesempatan kempen pilihan raya untuk meluahkan kekecewaan kepada media arus perdana yang berat sebelah dalam membuat laporan khususnya mengenai Selangor dan Pulau Pinang pimpinan Pakatan Harapan (PH) malam tadi.

“Saya tak marah tapi geram. Setiap malam kena marah. Setiap pukul 8 malam macam tak ada negeri lain dalam Malaysia ini - Selangor dan Pulau Pinang.

“Selangor tak ada air, orang Selangor tak mandi sebulan. Akhirnya datang seorang pejuang anak muda, pakai tuala dengan berus gigi berhimpun di pejabat saya nak mandi. Kalau Khalid Samad pun saya tak bagi mandi kat pejabat saya takkanlah budak gila ni saya nak bagi,” katanya merujuk kepada Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Yunos.

Beliau hadir di Shah Alam malam tadi untuk membantu kempen pilihan raya calon kerusi Parlimen Shah Alam PH Khalid Samad, DUN Batu Tiga Rodziah Ismail dan DUN Kota Anggerik Najwan Halimi.

Ceramah di kawasan perumahan Seksyen 23, Shah Alam itu dihadiri hampir 2,000 orang.

Rata-rata yang hadir ditemui Malaysia Decides berkata antara sebab utama mereka hadir memberikan sokongan kerana mahukan perubahan. 

“Saya yang middle class ni pun rasa banyak susah harga barang banyak naik. Saya harap Pakatan Harapan dapat tubuhkan kerajaan persekutuan. Sebab kita dah tertekan banyak sangat dengan GST (cukai barangan dan perkhidmatan),” kata seorang hadirin yang hanya mahu dikenali sebagai Sekar.

Pensyarah kolej berusia 54 tahun itu berkata beliau yakin dengan pentadbiran kerajaan Selangor PH kerana banyak manfaat yang diperolehinya sekeluarga contohnya RM1,500 untuk anaknya yang melanjutkan pengajian ke univerisiti.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Shahril juga berkata jika dibandingkan dengan pentadbiran BN di Selangor dan PH, tidak banyak manfaat yang disediakan untuk rakyat. 

“BN memang tak boleh tawan Selangor ni dengan kos sara hidup, GST. Kalau tanya peniaga, 9 daripada 10 majoritinya bantah GST dan peniaga jalanan paling terkesan,” katanya.

Pada PRU13 lalu, Khalid menang dengan undi 49,009 menentang calon Barisan Nasional, Zulkifli Nordin yang hanya meraih 38,070 undi. Pada PRU kali ini, kerusi tersebut bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PH, BN dan PAS.– 2 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen