SEORANG lelaki maut manakala 12 yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan van yang membawa anak yatim di Kilometer 9.5 Jalan Sungai Sayong-Tenggara di Kota Tinggi, Johor petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Hussin Zamora berkata, pemandu kereta jenis Nissan Sentra Aminuddin Sanusi, 54, meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat tersepit di tempat duduk penumpang hadapan.
Beliau berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Aminuddin yang dalam perjalanan dari arah Jalan Bandar Tenggara menuju ke Kota Tinggi cuba untuk memotong, sebelum memasuki laluan bertentangan lalu melanggar van jenis Kia Pregio.
“Pemandu van berusia 41 tahun dan semua 11 penumpang terdiri daripada tujuh lelaki dan empat perempuan berusia antara 9 hingga 15 tahun dari Pertubuhan Rumah Anak Yatim Bandar Tenggara yang cedera itu dirujuk ke Hospital Kulai untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Hussin, kemalangan berkenaan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kenyataan berasingan, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tenggara, Awang Ismail Awang Hanafi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.37 petang, sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota digegaskan ke lokasi kejadian.
“Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu kereta (Aminuddin) tersepit dan pasukan keluaran operasi bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.
“Semua mangsa yang menaiki van termasuk pemandu yang cedera dibawa ke Hospital Kulai dengan menaiki ambulans,” katanya menambah operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.31 malam. – Bernama, 4 November, 2023.
Komen