BEKAS Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah setakat ini masih berpegang kepada prinsipnya untuk mengamalkan politik bersih dalam kempennya di Petaling Jaya.
Tiada ugutan ketakutan. Tiada ugutan dalam diam. Tiada retorik kaum dan agama untuk meraih sokongan pengundi.
Daripada sesi berjalan bertemu rakyat di pasar malam dan restoran, sehinggalah kepada ceramah dianjurkan PKR dan DAP, mesej Maria jelas: satu undi untuknya adalah satu undi menentang korupsi membarah dan pentadbiran lemah Barisan Nasional (BN).
“Saya terlibat dalam activism sejak 1970-an. Kita mahukan perubahan kerana kita mahu Malaysia yang lebih baik. Selama 61 tahun, kerajaan (BN) tidak pedulikan suara kita, menindas hak, menahan kita (kerana bersuara).
“Undang-undang berita palsu adalah satu lagi cubaan untuk diamkan kita. Kita perlu lawan balik, berjuang untuk integriti kita, hak kita, kepercayaan kita tentang Malaysia yang lebih baik,” kata bekas aktivis itu disambut sorakan meriah hampir 600 orang yang hadir di ceramah di Petaling Jaya pada Isnin malam.
Calon yang bertanding buat kali pertama itu bertanding atas tiket PKR walaupun bukan ahli parti itu.
Beliau juga mempertanggungjawabkan BN kerana gagal mengatasi masalah peningkatan kos sara hidup, kanak-kanak tidak cukup zat dalam kalangan miskin bandar dan diskriminasi kaum yang diterima baik khalayak yang majoriti terdiri daripada penduduk bandar berketurunan Cina.
Di Dataran Glomac, beliau menyampaikan mesej yang sama kepada belia dan keluarga mereka yang sedang makan di restoran mamak ketika acara bertemu rakyat bersama calon PKR untuk Seri Setia, Dr Shaharuddin Badaruddin.
Seri Setia adalah salah satu daripada tiga kerusi negeri di bawah Petaling Jaya. Dua lagi adalah Taman Medan dan Bukit Gasing.
Raj, 27, dan Sheila, 26, adalah pengundi kali pertama memberitahu Malaysa Decides yang mereka sudah memutuskan untuk mengundi PH walaupun sebelum ini tidak pernah berjumpa Maria.
“Pendek kata. Kami akan undi untuk perubahan,” kata Raj.
Seorang peniaga pisang di pasar malam Kampung Lindungan yang dikunjungi Maria pada sebelah petang pula berkata dia kenal Maria melalui Bersih.
“Saya tahu dia siapa. Sebelum ini saya penyokong kuat Umno tetapi saya susah nak dapat RM3,000 sebulanpun sekarang walaupun saya berniaga di pasar malam tujuh hari seminggu,” kata lelaki dalam usia 50-an itu yang merupakan penerima BR1M dan mempunyai dua anak yang masih belajar di kolej.
Memuji bekas Adun Seti Setia Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai wakil rakyat yang bagus, peniaga itu berkata dia akan memberi peluang untuk PH bertapak di Putrajaya. – 2 Mei, 2018.
Komen