Demi masa depan anak-anak, ibu bapa di Muar sokong Syed Saddiq


The Malaysian Insight

PEMIMPIN politik Barisan Nasional mungkin memanggilnya mentah dan meremehkan peluangnya untuk menang di Muar tetapi banyak pengundi di kawasan itu sedia untuk tidak menghiraukan soal umurnya yang muda.

Apa yang mereka lihat pada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 25, adalah seorang anak muda yang petah bercakap tentang masa depan anak-anak mereka.

Pengundi berumur ini yakin ketua pemuda Bersatu dan calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Muar itu boleh memahami cabaran yang dihadapi oleh banyak anak muda, yang sesetengahnya terpaksa bekerja di Singapura.

Roslan, 58, dari kampung Parit Nawi, adalah antara 150 hadirin yang mendengar ceramah Syed Saddiq di kubu kuat BN itu malam tadi.

“Kami dulu penyokong BN tetapi sekarang tidak lagi. Kebanyakan anak kami bekerja di Johor Bahru, di Singapura. Mereka yang pengaruhi keluarga.

“Muda bukan satu masalah. Anak saya juga muda dan dia (Syed Saddiq) lebih tahu apakah dasar-dasar kerajaan membela mereka,” kata Roslan kepada Malaysia Decides.

Roslan yang sudah dua kali datang mendengar ceramah Syed Saddiq kenal bekas ahli Umno yang sekarang menyokong PKR dalam kalangan hadirin itu.

“Mereka yang dari pekan Muar bawa kereta. Orang Parit Nawi naik motosikal. Itu, ada dua dozen motosikal di luar,” katanya.

Pembangkang tidak pernah menang di Muar. Penyandang kerusi Parlimennya, Razali Ibrahim, timbalan menteri kerajaan sementara dan ahli Majlis Tertinggi Umno, bertanding untuk penggal keempat.

Majoriti kemenangannya di kerusi dominan Melayu itu bagaimanapun merosot dari 13,415 undi pada 2004, kepada 16,986 undi pada 2008 dan 1,646 undi pada 2013.

Nasir, 75, yang datang bersama isterinya ke ceramah itu, mempunyai sembilan anak – lima daripadanya bekerja di Singapura manakala dua di Shah Alam.

“Mereka ulang alik dari Johor Bahru ke Singapura. Saya suruh mereka duduk di Singapura dan tak usah beri kami duit banyak pun tak apa tapi mereka tak mahu dengar,” katanya.

“Saya sudah tua tetapi yang muda-muda ini masa panjang lagi. Apa masalahnya dengan calon muda? Siapa yang tak pernah muda?” tanyanya.

Beberapa hari lepas, Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein memperlekehkan Syed Saddiq dengan mengatakan beliau “anak kucing” yang berhadapan dengan “harimau” Umno.

Katanya, calon PH itu menumpukan sasaran pada pengundi muda kerana tidak boleh menembusi pengundi berumur yang kagum dengan prestasi BN di kawasan itu. – 2 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen