DR Mahathir Mohamad malam tadi menggempur kubu kuat PAS di Kuala Lumpur di kawasan Parlimen Titiwangsa selepas Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon Bersatu dan bukan dari Amanah, serpihan parti Islam itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini.
Titiwangsa ditandingi oleh Ketua Wanita Bersatu, Rina Mohd Harun dan calon PAS, Mohamad Noor Mohamad yang mencabar penyandangnya Menteri Kewangan Kedua kerajaan sementara, Johari Abdul Ghani.
PAS memenangi Titiwangsa buat pertama kali pada 2008 dengan majoriti 1,972 undi tetapi kalah tipis kepada Barisan Nasional pada 2013 dengan beza 866 undi. Amanah terbentuk pada 2015 selepas perpecahan dalaman PAS.
Parlimen Titiwangsa adalah kerusi terakhir yang memecahkan kebuntuan rundingan antara parti gabungan PH apabila Amanah setuju menyerahkannya untuk ditandingi Bersatu dan seterusnya membolehkan PH mengadakan konvensyen awal tahun ini.
Semasa konvensyen PH pada 7 Januari itulah Dr Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri sekiranya gabungan itu berjaya mengambil alih Putrajaya pada PRU14 yang akan diadakan pada 9 Mei.
Walaupun hujan sepanjang ceramah berlangsung, hadirin pelbagai kaum termasuk mereka yang bukan pengundi di kawasan Titiwangsa tidak berganjak mendengar ucapan pemimpin diketuai Dr Mahathir.
Pengerusi PH itu dalam ucapannya menyeru rakyat meneruskan momentum sokongan yang mereka tunjukkan pada program ceramah itu pada hari pengundian 9 Mei nanti.
“Kalaupun hujan kita keluar beramai-ramai, macam ini juga, pergi undi Pakatan Harapan. Kita bukan sahaja nak menang, kita nak menang besar,” katanya disambut sorakan hadirin.
Tambah beliau, sekiranya hanya menang dengan majoriti yang kecil, mudah bagi BN untuk melakukan penipuan.
Dalam ucapannya, Dr Mahathir turut meneruskan serangan terhadap Pengerusi BN Najib Razak dan dakwaan salah lakunya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Program ceramah itu ditutup dengan ucapan Presiden Amanah Mohamad Sabu yang bergegas datang dari satu lagi program kempen di kawasan Parlimen Kota Raja yang beliau sendiri tandingi.
Dalam ucapan yang diselang seli dengan jenaka, Mohamad berkata rakyat Malaysia hanya ada dua pilihan saja di peti undi pada 9 Mei nanti.
“Pilih Pakatan Harapan atau tolak Barisan Nasional,” katanya.
Menurut Mohamad, PAS tidak harus sama sekali masuk dalam pilihan pengundi kerana perjuangan parti itu yang tidak jelas apakah ia sebuah parti pembangkang atau pro kerajaan.
Program ceramah malam tadi diadakan di tengah-tengah blok kawasan rumah pangsa di Desa Pandan yang penuh dengan bendera dan poster PAS serta berdekatan dengan bilik gerakan parti Islam itu. Dari tapak ceramah itu, kelihatan tersergam Menara Berkembar Petronas.
Kawasan yang dibentuk sejak persempadanan semula 1984 itu merangkumi antaranya Kampung Baru, Datuk Keramat, Kampung Pandan dan bersempadan dengan kawasan Parlimen Bukit Bintang, Setiawangsa dan Cheras. Ia mempunyai 72% pengundi Melayu, 17% Cina, 9% India dan 2% lain-lain. – 2 Mei, 2018.
Komen