Dr Mahathir dakwa ditakutkan pegawai kastam dan imigresen


The Malaysian Insight

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau ditakut-takutkan oleh pegawai kastam dan imigresen.

“Saya dari Kuala Terengganu hari ini melalui Lapangan Terbang Subang dan saya ditahan pegawai kastam dan imigresen yang memeriksa bag saya,” katanya.

“Saya rasa mereka berharap dapat jumpa duit, tetapi apa yang mereka jumpa hanyalah keropok lekor yang saya bawa balik dari Kuala Terengganu,” katanya kepada hampir 2,000 orang di Desa Pandan, Kuala Lumpur malam tadi.

“Tetapi saya tak pernah bawah duit dalam bag, macam Mike Tyson yang ditahan di Australia dengan duit dalam bag,” katanya merujuk kepada bekas Menteri Besar Selangor Muhammad Muhammad Taib.

Turut hadir pada ceramah malam tadi ialah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Ketua Wanita Rina Harun.

Dr Mahathir juga membidas dakwaan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan beliau ke hospital untuk meraih simpati.

“Tak perlu saya ke hospital untuk dapat sokongan rakyat. Sokongan yang saya dapat menerusi kempen sudah lebih daripada cukup,” katanya disambut sorakan hadirin.

“Saya perlu minta maaf kepada semua orang di sini, saya pilih Najib. Kesilapan terbesar dalam hidup saya adalah memilih Najib. Saya perlu betulkan kesilapan ini. Saya akan cuba yang terbaik. Kerana itulah kita semua di sini, di bawah hujan, di dalam lumpur. Tak apa, kita akan selamatkan negara ini bersama-sama.

“Saya tak perlu cakap banyak tentang Najib. Yang anda semua patut tahu sekarang dia adalah kleptokrat dan pada 9 Mei dia akan disingkirkan.

“Kita tak buat ini sebab nak balas dendam, tetapi untuk kembalikan undang-undang dan peraturan. Mereka yang langgar undang-undang akan berdepan akibatnya,” katanya.

Muhyiddin pula memberi amaran tentang retorik perkauman.

“Saya perlu beri amaran kepada semua, menjelang hari mengundi, mereka akan gunakan isu perkauman untuk takutkan orang. Mereka akan kata jika Pakatan menang, masa depan orang Melayu akan musnah, DAP akan perintah negara dan Cina akan kawal Malaysia.

“Ugutan ini akan datang tidak lagi tidak bukan dari Najib,” katanya. – 2 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen