Tiada keperluan kerajaan perpaduan tawar projek untuk dapat sokongan, kata Fahmi


Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan pada waktu ini adalah cukup baik dan mencecah 149 ahli Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2023.

TIADA keperluan untuk Kerajaan Perpaduan menawarkan sebarang projek kepada mana-mana ahli Parlimen untuk mendapatkan sokongan seperti yang didakwa dua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan pada waktu ini adalah cukup baik dan mencecah 149 ahli Parlimen.

“Malah perdana menteri jelaskan di Parlimen bahawa beliau langsung tidak bertemu dengan dua ahli Parlimen PN yang umum sokongan kepada beliau baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama dan RTM hari ini.

Media hari ini melaporkan Ahli Parlimen Besut Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Ahli Parlimen Kubang Pasu Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, kedua-duanya daripada PN mendakwa ditawarkan projek di kawasan Parlimen mereka sebagai imbuhan kepada sokongan terhadap kerajaan.

Berhubung kenyataan Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin yang mendakwa majoriti rakyat mahu parti gabungan itu mengambil alih tampuk pentadbiran negara, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata ia hanya sekadar untuk menyedapkan “halwa telinga” sendiri dan kumpulan penyokong.

“Alangkah baiknya kalau Hamzah berjaya pujuk pimpinannya untuk terima pelawaan perdana menteri sejak dari hari pertama lagi (untuk bersama Kerajaan Perpaduan seperti titah nasihat Tuanku Yang di-Pertuan Agong) atau seperti yang dipelawa awal tahun ini.

Malah diulang lagi semalam, iaitu untuk bertemu (Timbalan Perdana Menteri) Fadillah Yusof dan berunding isu peruntukan (kawasan Parlimen),” katanya.

“PN tidak hilang maruah atau martabat mereka menjadi rendah jika duduk berunding seperti disarankan perdana menteri,” katanya sambil menambah Pakatan Harapan juga pernah duduk berunding dan akhirnya yang menang ialah rakyat. – Bernama, 3 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen