Pakatan sedia ke peringkat kempen seterusnya 


The Malaysian Insight

MEREKA pernah mengadakan perhimpunan politik besar besaran dan mengadakan jelajah ke seluruh negara sejak tahun lalu.

Kini, dengan lebih kurang seminggu lagi hari mengundi pada 9 Mei, pemimpin Pakatan Harapan akan meneruskan program rumah ke rumah, kempen menerusi video dan menghantar tokoh mereka ke kawasan yang dirasakan membawa angin perubahan paling kuat.

Sasaran mereka adalah tertuumpu kepada: pengundi Melayu atas pagar.

Pemimpin tertinggi PH berkata respon daripada pengundi Melayu setakat ini amat menggalakkan tetapi pakatan pembangkang masih bekerja keras bagi memastikan hadirin yang ramai pada ceramah mereka menterjemahkan sokongan menerusi undi.

“Di kubu kuat BN di Melaka contohnya, masyarakat Melayu memberi maklum balas yang baik dengan kempen kami. Ini tidak pernah berlaku pada pilihan raya umum lalu.

“Jadi pada 4 Mei, PH akan hantar pimpinan mereka ke Melaka,” kata pemimpin PH yang enggan namanya disiarkan.

Pada pilihan raya umum 20113, pembangkang menang dua kerusi Parlimen dan enam kerusi negeri di Melaka. Ia bertentangan dengan Barisan Nasional yang menang empat kerusi Parlimen dan 22 kerusi negeri.

Mengambil peluang berdasarkan maklum balas masyarakat di Melaka, sesi ceramah yang akan diadakan pada Jumaat ini akan mengetengahkan pemimpin Parti Warisan Sabah Shafie Apdal yang akan berkongsi pentas dengan pemimpin PH termasuk Dr Mahathir Mohamad, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Lim Guan Eng.

Pembangkang dapat merasakan mereka berpeluang untuk menang di Melaka terutamanya selepas Invoke Malaysia, yang membentangkan laporannya bulan lalu menyebut negeri berkenaan sedia untuk ditawan.

Ada yang percaya akan berlaku “tsunami Melayu” tetapi ramai juga yang percaya sebarang perubhan pengundi Melayu kepada pembangkang tidak cukup untuk merampas Putrajaya daripada BN.

Pemimpin PH juga berkata, jentera pakatan pembangkang di seluruh negara juag sudah mula untuk menghubungi setiap rumah untuk meyakinkan pengundi melayu menolak Barisan Nasional yang dipimpin perdana menteri sementara Najib Razak.

Satu lagi sumber PH menyatakan video kempen juga mampu menarik pengundi dengan pantas.

“Lihat bagaimana video pendek Dr Mahathir dengan dua kanak-kanak menjadi viral. Ia menyentuh hati ramai pihak,” katanya merujuk kepada video bekas perdana menteri itu mengakui melakukan banyak kesilapan ketika berkuasa.

Video itu setakat ini sudah ditonton oleh 116,000 orang di Youtube.

Pemimpin PH itu juag berkata mereka juga akan memfokuskan kepada beberapa kerusi Parlimen seperti Shah Alam, yang mana demografik pengundinya diubah berikutan persempadanan semula.

“Situasi sama juga berlaku kepada kerusi lain seperti Pematang Pauh. Tidak mustahil Nurul Izzah boleh tewas di kerusi ini,” katanya. – 2 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen