Calon hilang kelayakan persoal status bankrap 


The Malaysian Insight

CALON Pakatan Harapan Yaakob Osman, yang hilang kelayakan untuk bertanding di kerusi DUN Penaga di Pulau Pinang berkata, status bankrap “tiba-tiba” itu adalah berkaitan hutang kad kredit 20 tahun lalu.

Katanya, peguamnya berjaya menarik balik rekod itu daripada hutang kad kredit MBF yang berjumlah RM60,000 semalam - sehari selepas beliau membuat laporan polis berhubung perkara itu di Shah Alam.

Persoalannya, kata ketua penerangan Bersatu Pulau Pinang itu, adalah mengapa rekod itu tidak pernah keluar pada sistem dan sebelum ini rekodnya sentiasa bersih sehinggalah hari penamaan calon pada 28 April lalu.

Bercakap pada ceramah yang dihadiri kira-kira 300 orang di Bertam Perdana, Kepala Batas, Yaakob memohon maaf di atas “kecuaiannya”, dan menambah beliau tidak perah menerima notis berdepan tindakan kebankrapan.

“Notis itu dihantar ke alamat pejabat lama saya..selama ini saya ingatkan saya telah jelaskan semua hutang kad kredit. Saya tiada masalah selama ini dnegan akaun bank. Saya tidak pernah dihalang ke luar negara. Saya bebas untuk keluar.

“Saya tidak boleh beri alasan tetapi mengapa rekod kebankrapan saya hanya keluar sebelum penamaan, dan tidak semasa Bersatu menyemak status kewangan calonnya sebelum ini?

Katanya, kontroversi itu amat menyedihkan, kerana rakyat di Penaga dicabul hak mereka untuk mengundi PH pada pilihan raya, menyebabkan mereka tiada pilihan antara Barisan Nasional dan PAS.

“Jika kau rasa, saya dihukum secara tidak adil dan bersimpati kepada saya, saya minta kamu berilah undi kepada calon PH Kepala Batas, Dr Zaidi Zakaria; untuk Bertam Khalid Mehtab Mohd Ishaq dan Pinang Tunggal, Ahmad Zaki Yuddin Ahmad Rahman.

“Hanya bila kita menang Putrajaya, maka keadilan akan ditegakkan dan kita boleh tahu bagaimana semua ini berlaku,” katanya.

Yaakob berkata beliau turut menerima serangan di media sosial berikutan hilang kelayakan untuk bertanding dengan ada pihak yang menuduhnya mensabotaj penamaannya sendiri.

“Kenapa saya nak malukan diri sendiri dengan kebankrapan?” – 1 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen