Calon BN Shah Alam kata tak terlibat kes pijak kepala lembu


The Malaysian Insight

CALON Barisan Nasional (BN), Azhari Shaari berharap pengundi India Shah Alam dapat menerima bahawa beliau tidak terlibat secara langsung dengan kes perarakan dan memijak kepala lembu yang berlaku hampir 10 tahun lalu.

Ketua Umno Bahagian Shah Alam itu juga berharap pengundi berkenaan dapat menilai bahawa beliau banyak menyalurkan bantuan kepada masyarakat India.

“Sebagai ketua Umno bahagian, sebagai pengerusi BN, saya salurkan bantuan kepada masyarakat India, kepada kuil-kuil, di mana sumbang bakti saya kepada masyarakat India banyak sangat berbanding kepimpinan wakil rakyat PH yang hari ini.

“Perkara itu pun telah lama berlalu dan mereka pun boleh nilai bahawa itu bukan sebenarnya saya yang mengatur, merancang, mengepalai gerakan itu,” katanya kepada pemberita ketika bertemu pengundi di Pasar Malam Seksyen 17, Shah Alam hari ini.

Kes memijak kepala lembu itu kembali menjadi isu kempen PRU14 di Shah Alam apabila gambar beliau bersama kumpulan individu yang terlibat dalam perhimpunan haram dan memijak kepala lembu itu kembali tular di media sosial.

Jelasnya, dalam kejadian selepas solat Jumaat itu, beliau hanya mengikut kumpulan peserta demonstrasi yang berarak untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Kebetulan saya kat situ, saya tengoklah apa yang berlaku. Dan saya pulak di situ siapa yang terlibat dia dipanggil oleh pihak polis untuk soal siasat,” katanya.

Tambah Azhari, beliau juga hanya didakwa mengikut demonstrasi haram sahaja dan bukannya Akta Hasutan, memandangkan beliau ketika itu berada berdekatan dengan kawasan kejadian.

Kejadian pada Ogos 2009 itu berlaku susulan bantahan kumpulan pro-BN itu ke atas tindakan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat untuk memindahkan satu kuil ke Seksyen 23 di Shah Alam.

Menurutnya, pengerusi kuil tersebut menjemputnya untuk berbincang dan membuat penjelasan mengenai kes tersebut pada Khamis ini.– 2 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen