DAIM Zainuddin tidak kisah kalau Umno mahu mengambil tindakan ke atasnya setelah beliau menyokong Pakatan Harapan kerana apa yang dilakukannya itu adalah semata-mata ingin memperjuangkan keadilan.
Katanya, beliau sedar sokongannya ke atas Pakatan Harapan itu bercanggah dengan kedudukannya sebagai veteran Umno tetapi beliau juga sudah tidak lagi boleh menyokong parti itu.
“Saya lakukan ini adalah demi keadilan, mencari keadilan untuk rakyat.
“Sebab Umno adalah haram maka saya tak boleh jadi ahli pertubuhan haram,” katanya kepada media selepas program perjumpaan terbuka rakyat Pendang, Kedah bersama calon PH yang bertanding di kawasan itu.
Daim merujuk kepada kontroversi lanjutan tempoh yang diberikan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) kepada Umno selepas parti itu gagal mengadakan pemilihan jawatan mengikut perlembagaan.
Dalam ucapannya kepada hadirin pada program itu, Daim menyeru rakyat supaya menolak BN dan menyokong Pakatan pada hari pengundian 9 Mei ini.
“Pangkah mata, jangan dacing,” kata bekas Ahli Parlimen Merbok itu, merujuk kepada lambang parti bertanding pada kertas undi.
“Insyallah 9 Mei ini kita keluar mengundi PH, 10 haribulan kita akan ada kerajaan baru.”
Daim malam semalam dilaporkan turut hadir dalam program ceramah Menteri Besar sementara Selangor, Mohamed Azmin Ali di Pelabuhan Klang.
Bercakap kepada wartawan di Pendang, Daim turut menjelaskan apa sebabnya rakyat perlu memilih calon Pakatan pada PRU14 ini.
Katanya, adalah pelik jika Dr Mahathir Mohamad yang sudah berumur 92 itu bersusah payah untuk kembali bertanding dan menjadi perdana menteri melainkan keadaan Malaysia kini benar-benar kritikal.
“Tidak ada orang boleh bandingkan kejayaan Tun Mahathir, sebagai anak Kedah pula, macam-macam beliau lakukan.
“Jadi saya minta buat kali terakhir, beliau berjuang untuk Malaysia, untuk kepentingan rakyat takkanlah rakyat nak tolak sebab beliau sanggup berkorban.
“Jadi kita pun kena sanggup berkorban juga demi masa depan,” katanya disambut tepukan kira-kira kurang 50 yang hadir dalam program tersebut.
Bekas menteri kewangan itu sebelum ini beberapa kali mengkritik pentadbiran Najib Razak berhubung dasar-dasar melibatkan kewangan dan ekonomi yang beliau rasakan tidak betul dan tidak menguntungkan Malaysia.
Pada 21 April lalu, Daim mempersoalkan keputusan Putrajaya mengecualikan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion daripada dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Bekas menteri kewangan antara 1984 dan 1991 serta 1999 dan 2001 itu berkata semasa Dr Mahathir jadi perdana menteri, Malaysia pernah berdepan dengan kegawatan ekonomi tetapi keadaan tidaklah sukar seperti sekarang.
“Dua kali kita berdepan dengan kegawatan ekonomi tapi adakah rakyat menderita. Tapi kali ini tak payah nak cakap, semua barang naik,” katanya. – 1 Mei, 2018.
Komen