IA hanya menanti masa sebelum bekas menteri kewangan Daim Zainuddin memperlihatkan sokongannya terhadap Pakatan Harapan (PH) secara terbuka.
Mengapa?
Kerana selama lebih setahun, bekas menteri kewangan itu menjadi rujukan bagi pihak pembangkang untuk pembangkang. Ahli politik Bersatu, Amanah dan DAP mendapatkan nasihat daripada jutawan itu.
Beliau memberi mereka idea mengenai strategi; membuat cadangan mengenai di mana mereka perlu bertanding dan juga memarahi sekiranya mereka membenarkan perkara remeh menggaburi isu lebih besar bagi membina gabungan yang cukup kuat untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN).
Daim juga mencadangkan, tidak seperti BN yang membelanjakan jutaan di setiap kawasan, calon Bersatu perlu membelanjakan tidak lebih daripada RM400,000.
Mereka yang berjumpa dengannya mengatakan beliau mengkritik dasar-dasar ekonomi Najib Razak, dengan mengatakan negara berdepan saat sukar dengan hutang kerajaan mencapai tahap membimbangkan.
Beliau yang membina empayar ekonominya semasa pentadbiran Dr Mahathir, juga percaya perjanjian infrastruktur dengan China bukanlah pelaburan sebenar dan akan menjadi beban besar bagi generasi masa depan negara.
Beliau memberitahu apabila tiba masa yang sesuai, beliau akan memberi sokongan padu kepada Dr Mahathir dan PH.
Hari ini adalah hari yang dimaksudkan.
Berkunjung ke negeri asalnya di Kedah, beliau berkata: “Kita kena ingat pilihan kali ini adalah pilihan untuk masa depan dan anak cucu. Ini penting, jangan kita buat silap,” katanya.
“Kita kena pilih Dr Mahathir untuk selesaikan masalah. Jangan kita buat silap dan pilihlah PH. Masa depan kita terletak pada PH.
“Insya Allah 9 Mei ini kita keluar mengundi PH, 10 haribulan kita akan ada kerajaan baru.”
Daim dikenali dengan reputasi sebagai pemerhati politik yang bijak. Pada 2008, beliau meramalkan BN akan kehilangan lima negeri.
Lima tahun kemudian, beliau mengatakan BN tidak akan dapat mengembalikan dua pertiga kuasa Parlimen yang hilang pada 2004.
Daim menjadi pemimpin senior Umno kedua yang mengisytiharkan sokongan secara terbuka terhadap pembangkang, selepas bekas rakan sejawatnya, Rafidah Aziz.
Kedua-duanya dijangka akan diserang habis-habiskan oleh ahli politik Umno dan media arus perdana.
Daim masih mempunyai banyak kepentingan perniagaan di sini dan berdepan risiko dengan seruannya kepada rakyat Malaysia untuk menyokong PH.
Tetapi pada umur 80 tahun dan dengan penyakit buah pinggang, beliau pastinya sudah melakukan analisis dan menyedari tidak banyak yang boleh dilakukan Najib dan geng kepadanya.
Atau mungkin beliau benar-benar percaya Dr Mahathir dan rakan-rakannya berada di puncak kemenangan. – 1 Mei, 2018.
Komen