LEBIH 20,000 sukarelawan mendaftar sebagai ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi (PACA) pada hari mengundi di bawah Invoke, sebuah organisasi penyelidikan dan pengundian yang berkaitan dengan PKR.
Jumlah yang besar itu menunjukkan sokongan yang padu terhadap parti dalam Pakatan Harapan, yang bimbang tentang penipuan pada hari mengundi.
Namun daripada 21,848 sukarelawan yang berdaftar dengan Invoke, hanya 3,238 mengesahkan untuk menerima tanggungjawab itu.
18,610 lagi sukarelawan di seluruh negara masih belum berbuat demikian, menyebabkan ketua Invoke yang juga naib presiden PKR Rafizi Ramli untuk merayu kepada mereka agar berbuat demikian menerusi SMS, WhatsApp atau emel kepada Invoke.
“Sekiranya kamu tidak mengesahkan menerima tugas sebagai PACA menjelang 5 Mei, kami tidak akan dapat mendaftarkan kamu dengan Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya dalam satu kenyataan.
Calon pilihan raya dikehendaki menghantar kepada SPR wakil ejen mereka untuk memerhati proses pengundian dan pengiraan undi.
Ada sesetengah calon mengurus dan merekrut PACA mereka sendiri, Invoke telah memusatkan urusan itu untuk calon PKR.
Ketua Pengurusan Pengambilan Sukarelawan Invoke, Madihah Akmal berkata, sukarelawan paling tua berusia 65 tahun manakala yang paling muda adalah 18 tahun.
Meletakkan PACA di kerusi marginal merupakan satu keutamaan dan sukarelawan akan ditugaskan di kawasan yang terdekat dengan mereka menerusi sistem pengurusan Invoke.
“Bagi sukarelawan yang mengundi di kawasan kerusi majoriti besar (yang dimenangi PH) mereka digalakkan untuk menjadi sukarelawan PACA di kerusi marginal di kawasan luar bandar pada hari mengundi,” katanya.
Sukarelawan tidak akan dibayar dalam apa jua keadaan dan mereka di bawah tanggungjawab pihak tempatan sebaik sahaja mereka ditugaskan ke lokasi spesifik.
“Mereka perlu biayai sendiri kos perjalanan dan makan pada hari itu.
“Mereka yang dihantar ke kawasan kuar bandar tidak akan mendapat penginapan yang dibayar oleh Invoke.” – 1 Mei, 2018.
Komen