Tidak wajar kerat, buang gambar Dr Mahathir, kata Hishammuddin


The Malaysian Insight

TINDAKAN pihak berkuasa memotong gambar Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin pembangkang lain pada papan iklan kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRu14) semalam adalah tidak wajar, kata Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein.

Katanya, walaupun papan iklan itu salah di sisi peraturan tetapi masih ada cara lain yang lebih berhemah yang boleh dilaksanakan.

“Saya pun tidak suka dan setuju. Saya tidak tahu pihak mana, sama ada pihak berkuatkuasa tempatan ke atau pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memotong gambar tetapi tidak kira pemimpin mereka atau pemimpin kita, walaupun melanggar undang-undang atau peraturan, saya rasa tindakan itu tidak wajar,” katanya seperti dipetik oleh Bernama.

“Kalau sepanduk tidak sesuai turunkan sepanduk itu. Hendak potong-potong muka, wajah, saya rasa bukan perkara yang saya secara peribadi setuju,” kata selepas satu program bersama masyarakat Orang Asli di Kahang, Kluang, Johor.

Hishammuddin mengulas tindakan pihak berkuasa memotong wajah Dr Mahathir, pengerusi PH, pada sebuah papan iklan kempen PRU14 di Ayer Hitam.

Pada 24 April lalu, empat hari sebelum penamaan calon, pengerusi SPR mengumumkan syarat-syarat tambahan bahan kempen PRU14 dengan alasan antara lain untuk “tidak mengelirukan pengundi”.

Antara syarat tambahan itu ialah hanya gambar dua pemimpin utama parti politik bertanding iaitu presiden dan timbalan presiden boleh dipasang pada bahan kempen.

PKR, Bersatu, DAP dan Amanah yang bergabung dalam PH bertanding pada PRU14 menggunakan satu lambang iaitu PKR, selepas pendaftarannya ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Selain gambar Dr Mahathir di Ayer Hitam, imej bekas perdana menteri itu dan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim juga dipotong oleh pihak berkuasa di Pulau Pinang malam tadi. – 1 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen