Brazil kerah tentera ke lapangan terbang, pelabuhan perangi jenayah terancang


Langkah kerahan tentera oleh kerajaan Brazil ke lapangan terbang dan pelabuhan dijangka berlangsung sehingga Mei tahun depan dan boleh dilanjutkan jika perlu. – Gambar EPA, 2 November, 2023.

KERAJAAN Brazil pada Rabu mengerahkan angkatan tentera untuk mengawal beberapa lapangan terbang dan pelabuhan di seluruh negara dalam usaha memerangi kumpulan jenayah militan dan penyeludupan dadah, lapor Xinhua.

Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva menandatangani dekri “melancarkan operasi bersepadu bagi memerangi jenayah terancang”, menurut kenyataannya di platform X.

Menurut dekri berkenaan, pasukan tentera akan membantu pasukan polis persekutuan di beberapa lapangan terbang dan pelabuhan di bandar Rio de Janeiro dan São Paulo.

Seramai 3,700 anggota tentera darat, udara dan laut akan dikerah menyertai usaha itu.

Minggu lepas, sekurang-kurangnya 35 bas dibakar di barat Rio selepas seorang anggota kumpulan jenayah militan terkemuka terbunuh dalam operasi yang dijalankan pihak berkuasa.

Polis berkata lelaki terbunuh itu merupakan anak saudara kepada ketua kumpulan jenayah militan Luis Antônio da Silva Braga, yang juga dikenali sebagai Zinho.

Polis menganggap insiden bas dibakar sebagai tindakan membalas dendam, dan gabenor tempatan berikrar memburu tiga ketua sindiket jenayah susulan kejadian itu.

Langkah kerahan tentera itu dijadual berlangsung sehingga Mei tahun depan dan boleh dilanjutkan jika perlu. – Bernama, 2 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen