UAE sedia rawat 1,000 kanak-kanak Palestin yang cedera


UAE semalam berkata mereka bersedia merawat kira-kira 1,000 kanak-kanak Palestin yang cedera di hospitalnya. – Gambar AFP, 2 November, 2023.

PRESIDEN Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohamed bin Zayed Al-Nahyan semalam berkata negaranya bersedia merawat kira-kira 1,000 kanak-kanak Palestin yang cedera di hospitalnya.

Keputusan itu diumumkan semasa perbualan telefon antara Menteri Luar UAE Abdullah bin Zayed Al-Nahyan dengan Presiden Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Mirjana Spoljaric, lapor Agensi Anadolu memetik Agensi Berita WAM.

Dalam perbualan itu kedua-dua pihak juga menekankan kepentingan penghantaran bantuan dan bekalan perubatan kepada penduduk di Gaza.

Semalam kumpulan pertama rakyat Palestin yang cedera tiba di Mesir bagi menerima rawatan di hospital di wilayah Sinai Utara sejurus selepas pembukaan lintasan sempadan Rafah buat kali pertama dalam tempoh 25 hari sejak pertempuran sengit di Gaza.

Tentera Israel melancarkan serangan udara dan darat ke atas Semenanjung Gaza hingga mengorbankan sekurang-kurangnya 8,796 rakyat Palestin iaitu kira-kira 70 peratus daripadanya merupakan kanak-kanak dan wanita manakala lebih 22,000 lagi cedera sejak 7 Oktober. – Bernama, 2 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen