Kembalikan Bandar Tun Razak kepada BN, rayu Najib 


The Malaysian Insight

PENGERUSI Barisan Nasional Najib Razak hari ini memohon bantuan pengundi di Bandar Tun Razak untuk mengembalikan kawasan yang dinamakan sempena bapanya kepada pakatan pemerintah.

Najib berkata ia hanya sesuai untuk BN mendapatkan kembali kerusi Parlimen itu selepas tewas pada dua pilihan raya sebelum ini.

Katanya, beliau terkilan Bandar Tun Razak bukan di bawah BN tetapi terdapat tanda ia akan kembali kepada BN.

“Saya terkilan Bandar Tun Razak bukan bandar BN lagi, tapi kali ini kita akan ubah Bandar Tun Razak.

“Saya ni anakanda Tun Razak, tolonglah saya. Tolonglah keluarga Tun Razak..Bandar Tun Razak. Kita nak kembali ke Barisan Nasional,” katanya kepada penyokong dan ahli BN di Cheras hari ini.

Tambahnya, BN telah bekerja keras sejak lima tahun lalu untuk mengembalikan kepercayaan rakyat di kawasan itu.

Malah, calon untuk bertanding di Bandar Tun Razak juga dipilih dengan berhati-hati.

“Itu sebabnya kita piliha Adnan Abu Seman. Beliau merupakan anak tempatan. Beliau ada latar belakang akademik yang baik dan profesionnya sebagai peguam,” katanya.

Ketua Umno Bandar Tun Razak yang berusia 42 tahun itu akan bertending menentang calon Pakatan Harapan Kamaruddin Jaafar dari PKR, yang meninggalkan kerusi Parlimen Tumpat untuk bertanding di kawasan bandar, dan calon PAS Dr Rosni Adam, anak tempatan dan merupakan ketua Muslimat PAS Bandar Tun Razak

Adnan hampir hilang kelayakan untuk bertanding selepas lupa membawa surat pelantikan untuk kertas pencalonan pada Sabtu.

Kerusi Parlimen Bandar Tun Razak sebelum ini dipoegang oleh BN sehingga pilihan raya umum 2008, apabila bekas menteri besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim yang bersama PKR ketika itu merampas kerusi berkenaan. 

Menurut Bernama, kawasan Parlimen itu mempunyai 83,650 pengundi, 61.96% adalah Melayu, diikuti Cina (29,19%), India (8.18%) dan lain-lain (0.67%). – 1 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen