Fahmi mula diterima di Lembah Pantai 


The Malaysian Insight

CALON PKR Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata beliau kini telah mula diterima di kawasan berkenaan berbanding sebelum ini walaupun boleh dikatakan antara muka baharu di barisan hadapan.

Katanya, beliau telah menghadiri beberapa majlis perkahwinan dan acara sosial yang mana semakin ramai yang mahu bergambar dengannya.

“Saya rasa dalam masa yang sama lebih ramai yang menyedari bahawa terdapat juga muka baharu lain. Pada saya ia semakin baik,” katanya.

Walaupun mengakui masih banyak yang perlu dilakukan untuk kempen, Fahmi berkata pasukannya telah berjaya membuatkan rakyat di Lembah Pantai mengenali dirinya sebagai seorang calon.

Sebelum ini Malaysia Decides melaporkan rakyat di kawasan flat kos rendah di Lembah Pantai mendakwa mereka masih tidak mengenali Fahmi, berbanding Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Ketika satu acara tertutup antara Fahmi dan satu komuniti kecil di Bangsar, penduduk di kawasan terbabit menunjukkan sokongan mereka terhadap Fahmi sekaligus menjawab dakwaan beliau tidak dikenali di Lemabh Pantai.

Salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Johnny berkata, beliau telah menghadiri beberapa program dan Fahmi dikenali oleh ramai orang di kawasan itu.

“Beliau bukanlah baharu. Saya telah mengikutinya dan beliau telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

“Mungkin masih banyak yang beliau peerlu lakukan di kawasan flat kos rendah,” katanya yang tinggal di kawasan itu sejak 40 tahun lalu.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Liew berkata Fahmi mempunyai hubungan baik dengan penduduk di kawasan berkenaan.

“Beliau sangat baik. Beliau berinteraksi dengan rakyat dan cuba sedaya upaya untuk membantu masyarakat di sini,” katanya.

Fahmi merupakan calon yang pertama kali bertanding di kerusi Lembah Pantai akan menentang calon PAS, Fauzi Abu Bakar dan calon BN Raja Nong Chik yang bertanding buat kali kedua. – 1 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen