DAIM Zainuddin hari ini menyatakan sokongan terbuka kepada Pakatan Harapan (PH) apabila menggesa rakyat menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Bekas menteri kewangan Kabinet Dr Mahathir Mohamad itu hari ini mengadakan majlis perjumpaan bersama rakyat di Pendang, Kedah bersama calon-calon PH yang bertanding di kerusi Parlimen Pendang dan dua kerusi negeri di bawahnya, Sungai Tiang dan Tokai.
“Kita kena ingat pilihan kali ini adalah pilihan untuk masa depan dan anak cucu. Ini penting, jangan kita buat silap,” katanya.
“Kita kena pilih Dr Mahathir untuk selesaikan masalah. Jangan kita buat silap dan pilihlah PH. Masa depan kita terletak pada PH.
“Pangkah mata, jangan dacing,” tambah bekas ahli Parlimen Merbok itu.
“Insya Allah 9 Mei ini kita keluar mengundi PH, 10 haribulan kita akan ada kerajaan baru.”
Kenyataan Daim ini muncul beberapa jam selepas seorang lagi bekas menteri kabinet era Dr Mahathir, Rafidah Aziz, yang juga bekas ketua Wanita Umno menulis pesanan panjang kepada rakyat Malaysia menghuraikan kenapa mereka perlu menolak BN pada PRU14 ini.
Selain di Pendang, Daim juga mempunyai acara sama yang berasingan di Jitra.
Daim malam tadi dilaporkan hadir dalam program ceramah menteri besar sementara Selangor, Mohamed Azmin Ali di Pelabuhan Klang.
Bekas menteri kewangan itu sebelum ini beberapa kali mengkritik pentadbiran Najib Razak berhubung dasar-dasar melibatkan kewangan dan ekonomi yang beliau rasakan tidak betul dan tidak menguntungkan Malaysia.
Pada 21 April lalu, Daim mempersoalkan keputusan Putrajaya mengecualikan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion daripada dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). – 1 Mei, 2018
Komen