KENYATAAN bekas menteri Rafidah Aziz yang menyokong Pakatan Harapan (PH) menerima pujian pengguna media sosial.
Dalam satu posting terbaru di Facebook, bekas ketua Wanita Umno itu berkata rakyat Malaysia, perlu mengabaikan Barisan Nasional (BN) dan memilih PH, ketika mereka mengundi pada 9 Mei.
PH dipimpin oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi Bersatu.
Pengguna Facebook Fadzillah Hamid berkata: “Hapus makhluk perosak negara demi Malaysia belia .. Tun akan memperbaiki semula kemegahan Malaysia”.
Seorang pengguna lain Nurul Jannah berkata rakyat Malaysia harus membiarkan kumpulan baru mengurus negara dan sekurang-kurangnya memeriksa apa sebenarnya yang berlaku.
“Jika mereka melakukan kerja yang buruk kita boleh tukar lagi. Jika tidak, kita tidak akan tahu apa yang sedang berlaku di negara kita. Jadi undilah PKR (Pakatan Harapan). “
Pengguna Facebook juga memuji Rafidah kerana keberaniannya menyeru semua rakyat Malaysia menyokong PH.
Sheriff Yacob berkata: “Saya sangat setuju dengan saranan Tan Sri. Kita perlu menggebeling tenaga untuk menegakkan rumah kita yg senget. Paling penting sekali, kita mesti hapuskan makhluk perosak sebelum rumah kita runtuh! Kita cuma ada beberapa hari lagi. Jangan Lupa Keramat - 9hb Mei 2018.”
Rafidah dalam postingnya sebelum ini berulang kali menegaskan bagaimana terdapatnya keruntuhan kedaulatan undang-undang institusi negara dan terhakisnya integriti.
Beliau mensasarkan skandal kewangan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Rafidah mengecam mengenai ketiadaan sebarang tindakan oleh Malaysia walaupun negara lain melancarkan siasatan ke atas firma pelaburan negara itu yang dipengerusikan oleh perdana menteri sementara Najib Razak. – 1 Mei, 2018.
Komen