Sasaran sumbangan PMKS disemak semula atas faktor impak ekonomi, kata menteri


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick berkata pandemik Covid-19 dan konflik Rusia-Ukraine menyebabkan berlakunya sekatan perdagangan, gangguan rantaian bekalan dan peningkatan harga komoditi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2023.

LANGKAH semakan semula sasaran sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 kepada 41% daripada 45% dibuat selepas mengambil kira impak pandemik dan konflik Rusia-Ukraine ke atas ekonomi negara. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick berkata ini memandangkan keadaan tersebut telah menyebabkan berlakunya sekatan perdagangan, gangguan rantaian bekalan dan peningkatan harga komoditi.

Beliau berkata, pertumbuhan KDNK PMKS pada 2022 mencatat peningkatan sebanyak dua digit iaitu 11.6% berbanding 1.3% pada 2021 dan 5.9% pada 2019.

“Sumbangan PMKS kepada KDNK negara juga telah meningkat dan melebihi sumbangan prapandemik Covid-19 dengan nilai sumbangan sebanyak RM580.4 bilion pada 2022 berbanding RM553.4 bilion pada 2019. 

“Ini bermakna nilai sumbangan PMKS semakin meningkat walaupun peratus sumbangan KDNK yang disasarkan bagi 2025 telah disemak semula,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab pertanyaan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan sumbangan PMKS memandangkan sasaran sumbangan kelompok itu kepada KDNK bagi 2025 telah berkurangan.

Menjelaskan selanjutnya, Ewon berkata bagi meningkatkan lagi sumbangan PMKS kepada KDNK, kerajaan telah memberi tumpuan ke atas industri pertumbuhan dan bernilai tinggi (HGHV) yang mampu memberi sumbangan lebih besar kepada jumlah eksport negara. 

Malah, beliau menyifatkan pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 juga berupaya meningkatkan daya saing dan penyertaan PMKS dalam rantaian nilai industri pembuatan berpertumbuhan tinggi di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga telah melaksanakan beberapa program yang menyokong kepada pelaksanaan NIMP 2030 melalui Program Pembangunan Vendor (PPV); Program Peningkatan Industri Strategik dan Syarikat Berprestasi Tinggi (PRESTIGE); dan Program PKSlestari,” katanya. – Bernama, 1 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen