Hapus gerrymandering dan BN, keluar dan undi, kata pembangkang 


The Malaysian Insight

PAKATAN Harapan mengingatkan penyokongnya agar tidak terlalu yakin dalam usaha mengekalkan Selangor, dan menyatakan kerusi Parlimen Kapar, Shah Alam dan kerusi DUN dalam kawasan itu, menjadi terdedah kerana gerrymandering.

Secara keseluruhannya, 40,983 pengundi dari kawasan Parlimen Shah Alam dan Kapar dipindahkan ke Klang. Selain itu, sejumlah besar pengundi dari Bukit Tinggi dan Bandar Botanic, yang sebelum ini di bawah kerusi DUN Pelabuhan Klang dan Klang, ditukarkan ke kerusi baharu Sentosa.

Amalan gerrymandering ini bermakna kebanyakan pengundi pro BN telah ditukarkan ke P110. Kawasan DUN Kota Anggerik, Batu Tiga, Meru, Sementa, Selat Klang telah menjadi kerusi marginal yang berpihak kepada BN, yang cuba mendapatkan kembali negeri itu.

“Pengundi Pakatan Harapan tidak boleh berpuas hati, kita tidak boleh terlalu yakin pakatan akan menang di Selangor dan memerintah lima tahun lagi,” kata calon DAP Klang Charles Santiago dalam satu kenyataan hari ini.

“Kesan gerrymandering sangat meluas. Sekiranya kita memandang rendah kesan gerrymandering, beberapa kawasan Parlimen seperti Shah Alam, Kapar dan Pelabuhan Klang mungkin kembali kepada Barisan Nasional,” katanya.

Kerusi pembagkang yang terlibat juga semakin terhakis dengan pertembungan berbilang penjuru, dengan “PAS membuka jalan untuk itu”. Beliau menambah bahawa SPR telah memilih Rabu depan, hari kerja, sebagai hari mengundi.

“Kesemua faktor ini akan terbukti menjadi senjata kuat kepada BN, malah mungkin membenarkan mereka merampas kembali dua kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN di Klang,” katanya.

Charles berkata, sejumlah 85% pengundi dan ke atas diperlukan untuk mengurangkan impak gerrymandering. – 1 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen