KETIKA kontroversi dakwaan menerima dana daripada musuh tradisi politiknya Umno, PAS hari ini mempertahankan perbelanjaan dan sumber dana untuk Pilihan Raya Umum ke 14.
Pemimpin nombor dua parti itu, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bendera parti dibayar sendiri oleh ahli, sekaligus menjawab desas-desus mengenai jumlah perbelanjaan luar biasa parti Islam itu untuk menghadapi pilihan raya.
“Ahli kami beli kain dan buat sendiri bendera mereka. Mereka juga keluar untuk memasangnya. Parti tidak memberi mereka wang atau bendera. Ahli parti memang diharap dapat buat sendiri,” kata Tuan Ibrahim Tuan Man kepada pemberita di Terengganu.
“Sokongan daripada ahli kami pada pilihan raya kali ini amat luar biasa,” kata Tuan Ibrahim yang enggan menyatakan jumlah sokongan dalam istilah kewangan.
Pesaing PAS dalam Pakatan Harapan telah membuat pemerhatian mengenai sumber kewangan yang ditunjukkan bekas sekutunya dalam kempen untuk PRU14.
Bekas pemimpin PAS, Mohamad Sabu contohnya, membuat kenyataan semalam bahawa ketika beliau dalam PAS sehingga 2015, parti itu sentiasa bergelut untuk mendapatkan dana.
“PAS adalah parti yang miskin. Tapi sekarang kita lihat PAS menaikkan benderanya di sepanjang jalan hingga kamu sendiri tak nampak jalan,” kata Mohamad Sabu dalam satu sesi ceramah yang diadakan di Dungun pada 30 April.
Sarawak Report yang berpangkalan di United Kingdom mendakwa PAS menerima wang daripada musuh politiknya Umno, namun dakwaan itu telah dinafikan. Laman web berkenaan berdepan saman fitnah yang difailkan oleh presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Tambah Tuan Ibrahim, ahli parti itu turut menggunakan semula kain bendera daripada program dan pilihan raya lepas.
“Ahli kami merupakan yang paling awal untuk menurunkan semula bendera ini dan menyimpannya semula selepas pilihan raya untuk digunakan pada masa hadapan. Ada di antara mereka turut mencuci bendera ini.
“Kita tidak seperti parti lain yang menunggu ibu pejabat parti menghantar bahan. Ahli kami berkorban untuk parti.” – 1 Mei, 2018.
Komen