Tidak perlu heboh kalau Nik Omar pilih Amanah, kata Tuan Ibrahim


The Malaysian Insight

LANGKAH Nik Mohamad Omar, anak lelaki bekas mursyidul am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai calon Pakatan Harapan (PH) adalah urusan peribadinya yang tidak perlu diperbesarkan, kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, PAS tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang serangan melampau ke atas Nik Omar yang disifatkannya “tindakan yang keterlaluan”.

“Tindakan beliau bertanding atas tiket PH adalah urusan dan pilihan beliau sendiri yang tidak perlu diperbesarkan,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, dalam sistem demokrasi di Malaysia, seseorang itu bebas memilih mana-mana parti yang diingini dan ia bukan sesuatu yang baru kali ini berlaku.

“Terlalu banyak kes yang berlaku semasa atau sebelum ini,” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, kenyataan Nik Mohamad Abduh semalam mengenai abang sulungnya itu adalah “mewakili pihak keluarga” dan tidak perlu ada kenyataan lain daripada PAS.

Jelas beliau, kenyataan rasmi PAS hanyalah kenyataan pimpinan utama.

Nik Abduh, yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS, dalam kenyataannya semalam mengumumkan pendirian ibu mereka Tuan Sabariah Tuan Ishak mahu berkempen untuk memenangkan calon PAS, termasuk di kerusi DUN Chempaka yang ditandingi oleh abangnya sebagai calon PH.

Beliau turut mengingatkan abangnya tentang pentingnya “restu ibu” dalam hidup dan menutup kenyataan itu dengan ayat: “Siapa kita tanpa bonda? Sekadar air mani terbuang hina.”

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula dalam satu kenyataan berasingan semalam memetik kisah sejarah Nabi Nuh yang anaknya sendiri tidak memilih jalan Islam, sebagai mengulas tindakan anak-anak pemimpin PAS yang tidak lagi bersama perjuangan parti Islam itu.

Selain Nik Omar, dua lagi anak bekas pemimpin kanan PAS kini bersama Amanah iaitu Dr Mujahid Yusof Rawa (anak bekas mursyidul am PAS yang pertama) dan Mohd Faiz Fadzil (anak bekas presiden PAS, Fadzil Noor).

Nik Omar akan menentang penyandang Ahmad Fathan Mahmood daripada PAS dan calon Barisan Nasional, Mohamad Fareez Noor Amran.

Ahmad Fathan menang pilihan raya kecil DUN Chempaka yang diadakan selepas kematian Nik Abdul Aziz pada Februari 2015. – 1 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen