SOKONGAN terhadap PAS dijangka akan meningkat berikutan keputusan kes saman fitnah di mahkamah United Kingdom terhadap Sarawak Report, kata pimpinan parti itu.
Keputusan itu, yang didakwa parti itu menyebelahi presidennya Abdul Hadi Awang, akan membantu mengembalikan semula sokongan ahli dan penyokongnya yang hilang sebelum ini, kata timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man.
Dakwaan Sarawak Report pada 2016 bahawa PAS menerima RM90 juta daripada musuh tradisinya Umno telah mencemarkan imejnya dalam kalangan ahli dan penyokong yang mengundinya pada pilihan raya umum 2013.
“Terdapat ahli dan penyokong yang keliru dan tidak pasti dengan PAS kerana dakwaan berkenaan. Jadi keputusan ini akan memberi gambaran sebenar kepada mereka,” kata Tuan Ibrahim kepada pemberita di Marang, Terengganu.
Semalam, editor Sarawak Report Claire Rewcastle-Brown diarahkan membayar 41,400 GBP (RM22,000) kepada Hadi selepas presiden PAS itu menang lima pemohonan interlokutari.
Keputusan itu bagaimanapun bukan ke atas saman itu sendiri, yang mendakwa Sarawak Report telah memfitnah Hadi menerusi penyiaran artikel berhubung dana RM90 juta.
Perbicaraan kes saman itu dijangka akan berlangsung pada 1 April hingga 10 April tahun depan.
PAS kini berkempen menentang Umno dan pakatan yang diterajuinya Barisan Nasional. Ia turut berdepan calon daripada pakatan pembangkang Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke 14.
Penganalisis bagaimanapun berkata, parti itu mempunyai peluang tipis untuk menang di 158 kerusi Parlimen yang ditandinginya, berikutan kajian yang menunjukkan hanya 11% hingga 13% pengundi yang menyokong parti Islam itu. – 1 Mei, 2018.
Komen