PAS guna taktik kotor untuk mufliskan Sarawak Report, kata editor


The Malaysian Insight

PAS menggunakan taktik kotor supaya Sarawak Report muflis dengan memanjangkan perbicaraan saman fitnahnya, kata Clare Rewcastle-Brown hari ini.

Editornya hari ini berkata, dakwaan PAS bahawa parti itu mendapat kemenangan moral adalah merepek kerana kes saman fitnah tersebut belumpun didengar.

Beliau mengulas dakwaan Pengarah Pilihan Raya PAS DR Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini bahawa parti itu telah membuktikan 70% daripada samannya terhadap Sarawak Report.

Hadi memfailkan saman terhadap Sarawak Report di Mahkamah Tinggi London pada 21 April tahun lalu berkaitan satu artikel yang disiarkan pada Ogos 2016 yang mendakwa beliau menerima RM90 juta dari Umno sebagai pertukaran kepada sokongan terhadap parti itu.

Semalam, Rewcastle-Brown diperintahkan supaya membayar Hadi £41,400 (RM228,000) selepas Hadi menang kesemua lima permohonan interlokutori.

“Dakwaan kemenanangan moral oleh Hadi itu merepek kerana kesnya masih belum didengar,” beliau memberitahu Malaysia Decides.

“Kami cuba untuk mendapatkan pra perbicaraan untuk menentukan sama ada beliau mempunyai kes atau tidak untuk kebaikan kedua-dua pihak. Saya tidak mahu perbicaraan penuh dan membelanjakan (RM10.8 milion) bagi kes yang saya rasa saya boleh menang,” kata beliau, sambil menambah yang peguamnya telah menawarkan Hadi perbicaraan cepat untuk membuang keseluruhan kes.

Rewcastle-Brown berkata tawaran itu ditolak untuk meneruskan perbicaraan penuh.

“Dakwaan kemenangan moral itu kelakar kerana tidak ada perbincangan ke atas merit kes ini.

“Mereka (peguam Hadi) juga berkata mereka akan merayu sekiranya saya menang perbicaraan singkat. Taktik mereka adalah untuk memufliskan saya. Itu taktik mereka. Mereka tidak akan menang melalui taktik ini.”

Hadi hanya memenangi permohonan awal, dan mahkamah telah menetapkan tarikh sementara bagi perbicaraan penuh selama 10 hari pada April 2019. – 1 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen