SUDAH bosan dengan perkhidmatan ahli majlis mereka, penduduk Kota Damansara memberitahu calon bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh yang mereka mahu pemilihan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) diadakan semula.
Ini kerana mereka berasa ahli majlis yang dilantik oleh kerajaan Selangor tidak berkhidmat sepenuhnya dan mereka tidak dapat berbuat apa-apa jika mereka gagal melaksanakan tugas dengan baik.
Pengerusi Friend of Kota Damansara (FOKD), Jeffery Phang berkata ahli majlis tidak menangani isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk.
“Ada seorang ahli majlis yang enggan bekerja dengan golongan miskin dan tidak dapat dihubungi.
“Mereka yang mewakili rakyat tidak boleh mengabaikan segala rungutan,” katanya selepas sesi di Dewan KD di Kota Damansara.
Ahli kumpulan komuniti MyPJ, Kavin Thayalan berkata pemilihan majlis tempatan akan memastikan ahli majlis bertanggungjawab atas segala tindakan mereka.
“Sekiranya mereka tidak menjalankan tugas dengan baik, kita boleh singkirkan mereka, sekurang-kurangnya mereka akan lebih peka,” katanya.
Sungai Buloh, yang sebelum ini dikenali sebagai Subang, akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara A. Prakas Rao daripada Barisan Nasional, R. Sivarasa (PKR), Nuridah Mohd Salleh (PAS) dan Zainurizzaman Moharam (PSM).
Penyandang Subang, Sivarasa mengalahkan Prakash Rao dengan 26,719 undi pada pilihan raya umum 2013.
Sivarasa berkata selepas pilihan raya 2013, kerajaan Selangor mencadangkan untuk mengadakan pemilihan pihak berkuasa tempatan tetapi ditolak oleh mahkamah.
Prakash berkata kajian perlu dijalankan sebelum sebarang pilihan raya diadakan. – 1 Mei, 2018.
Komen