PAKATAN Harapan yang mengharapkan tsunami Melayu untuk merampas Kedah daripada Barisan Nasional, percaya kempennya telah menembusi beberapa kubu kuat Umno.
Calon PKR Kulim-Bandar Baharu Saifuddin Nasution Ismail berkata pasukannya berjaya menganjurkan program dan walkabout di kawasan yang beliau tewas pada pilihan raya umum lalu.
“Kawasan saya contohnya (Kulim-Bandar Baharu) merupakan kawasan Melayu. Tsunami Melayu sebenar pada skala yang besar masih belum jelas tetapi kita telah menembusi beberapa kubu kuat Umno, seperti Felda Gua Bongsu, Terap dan Junjung.
“Kita jalankan walkabout di Taman Anggerik, Junjung yang merupakan kawasan Melayu. Kita boleh memasuki kawasan yang kita pernah tewas.
“Saya menganggap ini sebagai sebahagian daripada tsunami Melayu, sebaik sahaja kita berjaya tembusi kubu kuat Umno,” katanya.
Pada pilihan raya 2013, Saifuddin tewas kepada penyandangnya Abd Aziz Sheikh Fadzir dengan 1,871 undi. Kulim-Bandar Baharu memiliki 68% pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke 13 diikuti pengundi Cina 19% dan India 13%.
Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi bagaimanapun percaya PH tidak akan dapat menang dengan majoriti besar, dan berkata rakyat Kedah boleh melihat tahap persediaan pakatan pembangkang untuk pilihan raya dan juga hala tuju politiknya.
“Rakyat hanya melihat mereka hanya mahu jatuhkan Najib Razak, namun mereka tidak dapat lihat objektif sebenar, hanya persepsi politik,” katanya.
Sementara itu katanya, PAS konsisten dengan agenda Islam, sesuatu yang boleh dikaitkan dengan rakyat Kedah.
“Rakyat Kedah terkesan dengan dasar yang dibawa di peringkat persekutuan, perkara yang membebankan rakyat seperti GST.
“Mereka hanya melihat kerajaan terlalu banyak menabur janji yang mereka tidak boleh tunaikan,” katanya.
Tambahnya, dengan kekuatan jentera lebih 12,000 orang, PAS berpeluang untuk merampas Kedah daripada Barisan Nasional.
“Rakyat Kedah dekat dengan Islam dan ini akan menjadi faktor utama mengapa mereka memilih PAS kali ini,” katanya.
Sementara itu, calon BN Kuala Kedah Abdullah Hasnan Kamaruddin menolak faktor pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad membantu PH memenangi negeri itu.
“Saya rasa ia sukar bagi mereka kerana kita mempunyai ramai ahli yang masih bersama BN, manakala rakyat boleh melihat rekod kita, apa yang telah kita lakukan.
“Pengaruh Mahathir mungkin hanya di Langkawi dan bukan di tempat lain,” katanya.
Tambahnya, pakatan pemerintah hanya perlu memenangi hati 51% pengundi untuk terus mentadbir negeri itu.
“Sukar untuk memenangi hati semua pihak tetapi sokongan masih lagi bersama BN,” katanya. – 1 Mei, 2018.
Komen