Pengundi Shah Alam akan 'ajar' Khalid Samad, kata calon PAS


The Malaysian Insight

PENDUDUK Shah Alam tak dapat memaafkan penyandangnya, Khalid Samad yang melompat parti ke Amanah sebelum ini, dakwa calon PAS bagi kerusi DUN Kota Anggerik Dusuki Abdul Rani.

Penceramah selebriti itu berkata, Khalid mengkhianati pengundi apabila menyertai ke parti  Amanah selepas memenangi kerusi Shah Alam dengan majoriti 10,939 undi dalam PRU13 dengan tiket PAS.

“Jadi bila dia sendiri lari daripada PAS, lompat parti, ia satu pengkhianatan yang tidak boleh dimaafkan sampai hari ini kecuali kalau dia bertaubat dan minta ampun pada Allah.

“Saya lihat masyarakat di Shah Alam tak dapat maafkan dia sehinggalah dia bertaubat dan minta ampun pada Allah dan dia minta maaf kepada setiap pengundi,” kata Dusuki dalam sidang media di pejabat PAS Selangor hari ini.

Beliau yakin pengundi Shah Alam akan membalas “kezaliman” Khalid dengan tidak menafikan undi dalam pertandingan tiga penjuru kali ini.

“Saya tak nampak penduduk Shah Alam ini akan beri sokongan. Kali ini mereka akan mengajar dengan cara yang betul kepada orang-orang sedemikian,” kata Dusuki.

Menang dulu bukan sebab PAS

Sementara itu, Khalid berkata kemenangannya di kerusi Parlimen Shah Alam pada pilihan raya umum 2013 bukan kerana sokongan PAS semata-mata tetapi juga oleh penyokong parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat (PR) ketika itu.

“Saya menang oleh kerana PAS berada dalam PR. Orang yang sokong PR, Keadilan, DAP beri sokongan padu kepada saya termasuk yang sokong PAS.

“Sekarang ini sokongan daripada DAP, Bersatu dan sebahagian sokongan daripada PAS itu telah beralih kepada saya kerana mereka telahpun bersama dengan Amanah,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Shah Alam hari ini.

Pengarah Strategik Amanah itu yakin akan dapat mengekalkan kemenangannya kerana mendakwa 80% ahli PAS di Shah Alam sudah meninggalkan parti Islam itu.

Pada PRU13, Khalid mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Zulkifli Nordin dengan kelebihan 10,939 undi. Beliau kini dicabar calon BN, Azhari Shaari dan calon PAS, Mohd Zuhdi Marsuki. Shah Alam mempunyai 107,316 pengundi, dengan 75% daripadanya Melayu. – 1 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen