Penyokong PAS Johor dakwa dipukul ketika edar risalah


The Malaysian Insight

SEORANG penyokong PAS mendakwa dipukul dengan kerusi plastik oleh penyokong Pakatan Harapan (PH) ketika mengedarkan risalah di Johor.

Goh Tee Jun, 48, mendakwa dirinya didatangi seorang lelaki dan berbalas hujah ketika mengedar risalah berkenaan alasan PAS menolak kerjasama dengan PH dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum ditumbuk dan dipukul.

Dalam laporan polisnya, Goh yang lebih dikenali sebagai Ah Seng berkata, beliau mengalami kecederaan di tangan dalam kejadian yang berlaku pada jam 1 pagi itu.

“Semalam pada pukul jam 1 pagi di Taman Impian Emas, Skudai, saya mengedar risalah PAS dan singgah di sebuah restoran.

“Saya didatangi lelaki yang dipercayai penyokong PH berdasarkan lencana PH yang dipakainya. Kami berbalas hujah dan dia menggunakan kerusi plastik memukul dan menumbuk saya,” kata Goh, dalam laporannya.

Beliau berkata, ada seorang lagi lelaki yang bertindak merampas risalah yang diedarkannya dalam insiden tersebut.

Goh membuat laporan polis di Balai Polis Skudai pada pukul 12.09 tengahari tadi.

Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Johor R Kumutha dalam sidang medianya di Ibu Pejabat PAS Johor hari ini menggesa agar setiap penyokong parti tidak seharusnya bertindak agresif.

“Kita berkempen secara adil dan saksama untuk semua rakyat. Parti mana pun kena bekerjasama antara satu sama lain,” katanya.

Satu lagi inisiden keganasan antara penyokong turut berlaku semalam, apabila seorang warga emas yang merupakan penyokong BN ditolak jatuh dari pentas oleh penyokong PH di Yong Peng. – 1 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen